Lelaki warga emas maut bergaduh ditikam sudu - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut bergaduh ditikam sudu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 2 Feb. – Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dengan kesan luka di bahagian dada selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah kedai di Jalan Theatre di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan Chai Ah Kin, 83, mati selepas mengalami kecederaan teruk akibat ditikam dengan senjata dipercayai sudu.

Dalam pergaduhan itu, suspek berusia 30-an juga parah setelah ditetak oleh seorang lelaki lain yang mahu menyelamatkan ibunya daripada dicekik suspek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kejadian pergaduhan itu pada mulanya melibatkan mangsa dan suspek yang menyewa bilik bersebelahan di rumah kedai tersebut.

Namun katanya, seorang wanita yang juga menyewa bilik di premis sama cuba meleraikan pergaduhan berkenaan namun suspek telah bertindak agresif dengan mencekik pula wanita terbabit.

“Anak lelaki wanita itu yang balik bercuti untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibunya telah melihat kejadian tersebut. Dia cuba menyelamatkan ibunya dengan menetak suspek menggunakan pisau hingga cedera parah dan dihantar ke hospital.

“Lelaki warga emas yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah itu pula meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan luka di dada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Menurut Anuar, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan pergaduhan itu disyaki akibat perselisihan faham yang berlarutan antara mangsa dan suspek.

Katanya, mangsa yang maut telah menyewa bilik di premis itu sejak 20 tahun lalu manakala suspek yang parah pula baharu enam bulan tinggal di situ.

“Siasatan sedang dijalankan bagi menyiasat objek yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa yang mati dan pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai pisau dan sudu namun ia masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan suspek yang parah juga dirujuk ke hospital sama. Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×