LANGKAWI – Seorang lelaki Pakistan yang disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari seorang lelaki warga China dan cucu perempuannya berusia empat tahun di Jalan Datai di sini Rabu lalu berjaya ditahan semalam.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan di Jalan Teriang di sini kira-kira pukul 9.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna biru gelap di jalan tersebut.
“Sepasukan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan kereta berkenaan dan mendapati terdapat beberapa kerosakan akibat kemalangan seperti dinyatakan saksi.
“Soal siasat awal yang dijalankan, pemandu kereta itu telah mengaku terlibat dalam kemalangan di Jalan Datai pada Rabu lalu sehingga mengakibatkan seorang lelaki warga China maut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati kereta tersebut mengalami beberapa kerosakan antaranya bumper dan lampu depan pecah, bonet depan kemek, cermin besar depan retak dan cermin sisi kanan rosak.
“Pemandu bersama kereta tersebut dibawa ke IPD Langkawi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan seorang lelaki warga China maut selepas cuba menyelamatkan cucunya daripada dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Datai di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa, Wang Bing Zhong, 70, mengalami kecederaan pada kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi (HL) kira-kira 35 minit kemudian manakala cucu perempuannya, Liu Yanci, 4, mengalami kecederaan pada kepala.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa cuba menyelamatkan cucunya daripada dilanggar kereta ketika melintas jalan. Semasa kejadian mereka sedang melihat monyet di tepi jalan. – K! ONLINE










