IPOH – Pergaduhan antara dua lelaki berakhir dengan tragedi apabila salah seorangnya maut disyaki ditikam dengan sudu dalam kejadian di tangga sebuah rumah kedai di Jalan Theatre di sini semalam.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan warga emas, Chai Ah Kin (gambar kecil), 93, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk pada dadanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kejadian berlaku apabila suspek berusia dalam lingkungan 30-an tersebut bertengkar dengan mangsa. Kedua-dua mangsa menyewa bilik bersebelahan di rumah kedai tersebut.
Difahamkan, suspek yang gagal mengawal emosi kemudian telah menikam mangsa menggunakan sejenis senjata tajam hingga mengakibatkan warga emas itu mati.
“Pada masa sama, datang seorang wanita yang juga menyewa bilik di situ cuba meleraikan pergaduhan itu namun suspek telah mencekik pula wanita berkenaan.
“Anak lelaki wanita itu yang ternampak perbuatan agresif suspek itu cuba menyelamatkan ibunya dengan menetak suspek menggunakan pisau hingga parah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal percaya pergaduhan tersebut berlaku akibat perselisihan faham yang berlarutan antara mangsa dan suspek namun polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Menurut Anuar, Ah Kin telah menyewa di situ sejak 20 tahun lalu berbanding suspek yang baru masuk bulan keenam menetap di premis sama.
“Pemeriksaan menemui pisau dan sudu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu dan polis masih menyiasat objek yang digunakan untuk menikam warga emas itu,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.










