BUTTERWORTH 25 Feb. – Seorang pengusaha kedai menjual kereta terpakai di Jalan Baru, Perai di sini kerugian kira-kira RM600 selepas sebuah kereta dan cermin pejabat kenderaan terpakai miliknya dilastik menggunakan bebola besi malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, kedua-dua belah cermin penumpang belakang sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dilaporkan pecah akibat perbuatan yang dilakukan seorang suspek lelaki.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ekoran kejadian itu, polis manahan seorang lelaki berusia 47 tahun dan merampas dua lastik serta beberapa biji bebola besi dan guli.
“Menurut pemilik kedai berusia 59 tahun, dia tidak tahu punca suspek yang merupakan anak rakannya di kedai bersebelahan bertindak sedemikian.
“Selain itu, polis ada menerima tiga lagi laporan lain berhubung kejadian sama di sekitar Perai melibatkan sebuah pusat mencuci kenderaan, pusat servis kereta dan berdekatan sebuah rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











