KUALA LANGAT – Belum lagi ajal. Itu nasib dialami seorang kru lelaki warga Filipina yang terselamat selepas terjatuh dari kapal kontena MV Ocean Nhava Sheva di kedudukan 20 batu nautika barat Tanjung Rhu, Kuala Langat di sini semalam.
Generoso Gempeson, 38, diselamatkan oleh sebuah kapal kontena lain setelah hanyut selama lebih enam jam apabila terjatuh ke dalam laut pukul 10 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa yang ketika itu memakai jaket keselamatan terjatuh akibat tergelincir sewaktu melakukan kerja di atas kapal berkenaan.
Katanya, mangsa kemudiannya hanyut dalam keadaan terapung sejauh 11 kilometer.
“Beberapa aset kemudiannya digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan dari Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Baharu pukul 3 petang.
“Mangsa bagaimanapun berjaya dijumpai dan diselamatkan pukul 4.29 petang oleh sebuah kapal kontena MV Peneng Bridge pada kedudukan 12.7 batu nautika dari Pintu Gedung, Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mohammad Rosli menambah, semakan awal mendapati MV Ocean Nhava Sheva itu dalam perjalanan dari Singapura ke Chittagong, Bangladesh.
Jelas beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Jabatan Laut oleh pihaknya sebelum dihantar ke Hospital Pantai, Klang untuk rawatan selanjutnya. – K! ONLINE










