TAPAH 26 Feb. – Percubaan tiga lelaki untuk menyamun sekumpulan enam lelaki warga Pakistan memakan diri apabila seorang daripada mereka maut dibelasah dalam kejadian di Taman Orkid dekat Sungkai hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan termasuk lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, menurut seorang daripada lelaki Pakistan itu, kejadian berlaku semasa dia dan lima rakan lain sedang berbual di ruang tamu rumah berkenaan.
Katanya, tiga lelaki yang memegang sebilah parang secara tiba-tiba telah menyerbu masuk ke rumah tersebut dan mahu menetak mereka.
“Seorang lelaki yang ditangkap itu mengalami luka di tangan kiri setelah cuba menahan parang dengan tangannya. Berlaku pergelutan antara mereka sebelum seorang daripada suspek yang cuma menyamun itu berjaya ditangkap.
“Pemeriksaan ke atas suspek oleh pihak hospital mendapati dia telah meninggal dunia. Terdapat beberapa kesan pada tubuh lelaki itu dipercayai akibat pergelutan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, keenam-enam lelaki warga Pakistan berusia 27 hingga 38 tahun itu telah tinggal di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu.
Ujar beliau, motif kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan suspek bersama dua rakan lain yang masih bebas untuk melakukan samun dengan menggunakan sebilah parang.
“Mayat lelaki itu di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kesemua lelaki Pakistan itu direman tujuh hari sehingga 4 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Setakat ini rakan mangsa yang masih bebas belum dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










