KUALA LUMPUR – Dua ekor kucing baka British short hair dan Parsi dilarikan sekumpulan penjenayah dalam satu kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai haiwan peliharaan di Taman Melawati di sini pada Rabu lalu.
Lebih memeranjatkan, kehadiran tiga lelaki pada pukul 7.10 malam itu seperti sudah dirancang kerana mereka mengetahui kedudukan haiwan tersebut selain membawa beg khas untuk memasukkan kucing berkenaan.
Pekerja premis, Nadrah Aqilah Ahmad Nazim, 21, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga rakannya berada di dalam premis sebelum didatangi oleh suspek yang membawa sebilah parang.
“Seorang daripada mereka mengacu parang dan mengambil wang tunai RM2,000 daripada kaunter manakala dua lagi rakannya masuk ke kawasan sangkar dan mengambil dua ekor kucing.
“Kucing yang hilang ialah baka British short hair berharga RM2,800 dan seekor lagi baka Parsi yang dijual pada harga RM400,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE











