KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pihak pendakwaan telah menyerahkan baki lapan dokumen kepada pihak pembelaaan melibatkan kes pecah amanah sebanyak RM50 juta oleh bekas pengarah ME10, Datuk Hasanah Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ilmami Ahmad dalam sebutan semula pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Rozina Ayub hari ini.
Menurutnya, pihak pendakwaan telah menyerahkan 51 dokumen sebelum ini menjadikan jumlah keseluruhan dokumen sebanyak 59.
“Setelah menyerahkan kesemua dokumen dikehendaki, barulah permohonan semula untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dapat diteruskan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.
Jelas Muhamad Ilmami, pihaknya juga telah membuat permohonan semula untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi pada 21 Februari lalu.
Menurutnya lagi, sebelum ini pihaknya telah membuat permohonan sama bagaimanapun ditarik balik atas sebab-sebab tertentu.
Untuk itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan semula bagi menetapkan sama ada kes tersebut akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.
Hakim kemudiannya menetapkan 21 Mac bagi tarikh sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE










