KUALA LUMPUR 2 Feb. – Kurikulum pendidikan keselamatan jalan raya yang akan diperkenalkan di sekolah disifatkan sebagai tepat pada masanya bagi membudayakan aspek keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah lagi.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan dalam memperkenalkan kurikulum itu amat dialu-alukan serta perlu disokong oleh semua pihak.
Kata beliau, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya lain perlu disemai di peringkat sekolah.
“Saya percaya jika anak-anak kita dididik sejak kecil untuk berpegang kepada nilai-nilai murni ini, mereka tidak akan tergamak untuk melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.
“Di negara-negara maju, mereka amat menitikberatkan kepentingan menyemai nilai murni di peringkat persekolahan lagi dan ia dilakukan secara berterusan sehingga menjadi budaya hidup. Misalnya di Jepun, pelajar diajar untuk tunduk menghormati pemandu kereta yang berhenti untuk membolehkan mereka melintasi jalan.
“Jadi, menerusi cara ini, ia secara tidak langsung mendidik kanak-kanak supaya sentiasa menghormati orang lain dan apabila dewasa mereka tidak akan sanggup untuk memandu atau menunggang secara melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran, akan dilancarkan bulan ini. – UTUSAN ONLINE











