KUALA LUMPUR 31 Jan. – Bermula dari Bahagian I hinggalah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, jawatan Yang di-Pertuan Agong diulang sebut kira-kira 300 kali dalam undang-undang tertinggi negara itu.
Ini bertepatan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di negara ini.
Malah kuasa eksekutif Persekutuan juga terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong, dengan pada masa sama Perkara 40 (1) Perlembagaan menyebut Seri Paduka hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.
Peruntukan ini membezakan negara monarki mutlak dengan sistem raja berperlembagaan diamalkan di negara ini.
Namun ini bukan bermakna institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja bersifat keraian. Ramai pakar perlembagaan dan pentadbiran melihat institusi Raja-raja Melayu sebenarnya bertindak sebagai pengimbang dalam banyak perkara.
Apatah lagi dalam Perlembagaan sendiri menyebut kuasa Seri Paduka dalam bersetuju atau tidak pembubaran Parlimen, pelantikan Perdana Menteri dan juga kuasa mengisytiharkan darurat dan menamatkannya.
Yang di-Pertuan Agong juga disebut dalam Perlembagaan berkenaan fungsi institusi itu termasuk melantik Jemaah Menteri dan badan kehakiman di samping kuasa mengampun.
Seri Paduka juga adalah pemerintah tertinggi angkatan tentera yang disebut secara spesifik dalam Perlembagaan di bawah Perkara 41.
Selain itu, institusi raja seperti difahami umum menaungi banyak perkara penting dalam Perlembagaan termasuk Islam dan bahasa kebangsaan.
Berkenaan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak, Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung kepada peruntukan Perkara 153 itu termasuk kepentingan sah kaum lain.










