KPDNHEP rampas 11,883 kasut dan selipar tiruan di Jalan TAR - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 11,883 kasut dan selipar tiruan di Jalan TAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 11,883 kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama bernilai RM324,110 dalam satu operasi khas di lapan buah premis di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu kesemua premis yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu.

Jelasnya, seramai 13 anggota penguatkuasa KPDNHEP bersama-sama pemilik cap dagang jenama terlibat dalam operasi tersebut.

“Kita telah memecah masuk bahagian stor di premis tersebut dan berjaya merampas pelbagai kasut dan selipar tiruan jenama Gucci, Nike, Adidas, Puma, Converse dan Tommy Hilfiger.

“Berdasarkan siasatan, kasut dan selipar itu dijual secara dalam talian ke seluruh negara dan stor di premis itu menjadi lokasi simpanan barangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Iskandar, bagaimanapun, suspek yang mengendalikan premis tersebut tiada sewaktu serbuan dan KPDNHEP kini sedang giat mengesan pemilik stor berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan maklumat, kesemua barangan yang dirampas dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga kasut dan selipar berjenama yang asli iaitu sekitar RM100 untuk setiap pasang.

“Mereka tidak memerlukan modal yang besar kerana hanya perlu menyewa stor untuk menyimpan barangan sebelum ia dijual secara dalam talian ke seluruh negara.

“Kita juga sedang mengesan beberapa stor yang menyimpan barangan tiruan di sekitar Lembah Klang dan akan mengadakan serbuan dalam masa terdekat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mempunyai milikan, jagaan atau kawalannya untuk pembekalan apa-apa barangan yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan, penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN