ALGIERS 26 Feb. – Perdana Menteri Algeria, Ahmed Ouyahia menegaskan pengundi akan menentukan sama ada Presiden, Abdelaziz Bouteflika mendapat sokongan untuk mentadbir negara bagi penggal kelima melalui kotak undi, selepas rakyat melakukan protes terhadap pencalonannya.
Sejak Jumaat lalu, beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalanan termasuk di ibu negara untuk melepaskan kemarahan terhadap pencalonan Abdelaziz menjelang pilihan raya pada April ini.
“Pilihan raya Presiden akan berlangsung dalam masa kurang dua bulan, dan semua orang akan membuat pilihan mereka secara bebas.
“Setiap orang mempunyai hak untuk menyokong calon mereka dan menentang mana-mana calon lain, kotak undi akan memutuskan dengan cara yang aman dan bertamadun,” jelas Ahmed secara langsung di kaca televisyen yang merupakan reaksi pertama pemimpin negara terhadap protes jalanan.
Abdelaziz yang berkerusi roda dan jarang dilihat di khalayak ramai sejak mengalami strok pada 2013, mengumumkan akan bertanding untuk penggal seterusnya pada 10 Februari lalu.
Pemimpin berusia 81 tahun itu berlepas ke Switzerland kelmarin untuk pemeriksaan perubatan. – AFP










