SHAH ALAM – Jualan runcit pelbagai barangan, jualan secara online serta penyediaan perkhidmatan yang ditawarkan di Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari, Seksyen U5, di sini antara penyumbang besar perolehan koperasi itu sejak tiga tahun lalu.
Pengetua SMK Subang Bestari, Bahrudin Mustar berkata, perolehan koperasi berkenaan pada tahun lalu berjumlah RM802,418 dan sasaran pihaknya pada tahun ini untuk melebihi angka RM1 juta.
Jelasnya, selain bidang perniagaan yang pelbagai, jumlah pelajar sekolah dan kakitangan yang melebihi 3,000 orang turut menyumbang kepada perolehan yang tinggi.
“Pelajar sekolah ini berjumlah 2,900 manakala guru serta kakitangan pula seramai 168 orang. Mereka merupakan nadi dan tulang belakang kepada kejayaan koperasi sekolah ini.
“Ketika saya menerajui sekolah ini pada tahun 2015, pendapatan koperasi sekitar RM400,000. Setahun kemudian, ia meningkat kepada lebih RM602,000 dan pada 2017 perolehannya lebih RM800,000,” katanya ketika ditemui pada lawatan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah di SMK Subang Bestari di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai aktiviti perniagaan yang dijalankan, Bahrudin berkata, 80 peratus perolehan koperasi adalah hasil jualan makanan, minuman, alat tulis dan pakaian.
“Di koperasi, pelbagai barangan dijual antaranya produk makanan dan minuman yang diluluskan pihak kementerian, selain pelbagai pakaian seperti baju-T sukan dan seluar trek.
“Di sini, kami juga menggalakkan guru-guru serta kakitangan menggunakan koperasi untuk menjalankan perniagaan. Malaysia, mereka boleh menjual kuih-muih, tudung dan pelbagai barangan lain, tetapi ia mesti menerusi koperasi.
“Selain itu, koperasi juga terlibat dengan jualan secara online melibatkan pelbagai produk seperti makanan, pakaian, peralatan elektrik dan barangan runcit harian untuk guru dan kakitangan,” ujarnya.
Bahrudin berkata, koperasi turut terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kepada pihak sekolah antaranya perkhidmatan sewaan bas, van sekolah dan percetakan.
“Semua lawatan sekolah dan pengangkutan pelajar ke pertandingan sukan atau aktiviti luar diuruskan sepenuhnya oleh pihak koperasi.
“Perolehan daripada perkhidmatan ini menyumbang lebih 12 peratus daripada pendapatan tahunan.
“Kami turut menyediakan gubahan hamper terutamanya untuk hari sukan dan pelbagai acara sekolah,” katanya.










