KLANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) menyasarkan enam buah koperasi sekolah di negeri ini berpotesi untuk mencapai perolehan lebih daripada RM1 juta pada tahun ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, sebanyak enam daripada keseluruhan 2,406 koperasi sekolah di seluruh negara telah mencatat perolehan tersebut.
Menurutnya, sasaran tersebut yakin dicapai memandangkan keenam-enam koperasi sekolah berkenaan telah mencapai perolehan melebihi RM500,000 setahun.
“Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari Bhd. memperoleh pendapatan RM802,418, Koperasi SMK Seri Puteri Bhd. (RM701,358) dan Koperasi SMK Bandar Baru Sungai Long (RM698,479).
“Tiga lagi koperasi iaitu Koperasi SMK Taman Jasmin 2 Bhd memperoleh pendapatan (RM650,794), Koperasi SMK Jalan Tiga Bhd. (RM515,617) dan Koperasi Sekolah Sultan Alam Shah Bhd. (RM515,490),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dialog bersama Pengetua Sekolah Selangor (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) Koperasi Sekolah 2019 di sini semalam.
Turut hadir Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin, Pengerusi Angkasa Selangor, Datuk Mohd. Alias Hamzah dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin.
Abdul Fattah menerangkan, secara keseluruhan, jumlah koperasi sekolah yang terdapat di negeri ini ialah sebanyak 276 buah dengan keahlian seramai 268,204 orang.
“Jumlah aset bagi kesemua koperasi sekolah di negeri ini berjumlah RM42.85 juta dan menyumbang perolehan sebanyak RM41.68 juta,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sasaran pihaknya bagi tahun 2020 adalah sekurang-kurangnya 50 koperasi sekolah boleh menjana pendapatan melebihi RM1 juta.
“Oleh itu, saya berharap agar semua koperasi sekolah dapat mempelbagaikan jenis perniagaan dan tidak tertumpu kepada membekalkan barangan peralatan sekolah sahaja.
“Ada sesetengah koperasi sekolah yang kini menceburi bidang peruncitan dengan membekalkan barangan keperluan asas harian dan mereka juga boleh mengendalikan kantin sekolah selepas ini,” jelasnya.











