HULU LANGAT 17 Feb. – Komitmen dan sokongan jentera Pas kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih setakat ini melebihi 100 peratus.
Calon BN bagi PRK Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, jentera Pas bukan sahaja membantu malah hadir dalam setiap program bersama jentera BN.
“Perbincangan bersama juga bergerak terus dan juga gerak kerja kita, itu tak terjejas.
“Namun, mereka ada tugas lain dan kami tak ganggu, masing-masing ada tanggungjawab, gerak kerja dan setakat ini tiada percanggahan kerana kita dah putuskan. Komitmen diberi lebih 100 peratus, insya-Allah,” katanya.
Zakaria berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Moh Kacau Dodol Puteri di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kuala Pajam di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO dalam pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu negara, kelmarin.
Sementara itu, jelas Zakaria, sokongan golongan muda di Semenyih terhadap BN juga dilihat semakin positif berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Nampak kesedaran dalam golongan muda terutama tentang perkembangan semasa dan mereka juga lebih kritis.
“Dahulu mereka mungkin lebih pengaruh dan emosional tetapi sekarang golongan muda lebih matang tentang perkembangan semasa,” katanya.











