MANCHESTER 25 Feb. – Jurgen Klopp mengakui pasukannya telah melepaskan peluang terbaik apabila Liverpool sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Liverpool kembali merampas kedudukan teratas EPL dengan kelebihan satu mata mengatasi pencabar terdekat mereka, Manchester City.
The Reds hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat dan bos Liverpool itu berkata mereka beraksi di bawah tahap sebenar kerana memiliki beberapa kecederaan.
Liverpool kehilangan Roberto Firmino yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan begitu juga dengan pemain United iaitu Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard.
“Perlawanan yang pelik. Kami bermula dengan baik seperti yang diingini. Kemudian masalah kecederaan mula hadir dan jelas sekali ia menjejaskan rentak permainan kami.
“Bagaimanapun, pada akhirnya kami perlu akui United bermain dengan sempurna dengan penyerang dan pemain tengah yang baharu. Kami hilang rentak dan tidak berjaya mengembalikannya.
“Situasi menjadi tertekan. Hanya satu mata sahaja kami berjaya kutip sedangkan kami mahu dua. Adakalanya United boleh dikalahkan. Anda perlu melakukannya dan namun kami tidak,” kata Klopp.
Itu merupakan perlawanan kedua Liverpool yang berkesudahan tanpa sebarang jaringan selepas mereka gagal menembusi gawang Bayern Munich dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara pada minggu lalu.
Tiada satu pun serangan berbahaya yang berjaya dihasilkan ketika menentang United oleh pemain bintang Liverpool seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane. – AFP











