Kisah di sebalik 'bapa inovasi' Paskal - Utusan Malaysia

Kisah di sebalik ‘bapa inovasi’ Paskal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH anda melihat aksi tangkas anggota pasukan khas atau komando dengan sut selam tempur ‘Closed Circuit Breathing Apparatus’ yang lengkap, terjun menggunakan payung dari ketinggian lebih 10,000 kaki?

Aksi sedemikian yang dinamakan sebagai ‘Water Jump’ begitu sinonim dalam kalangan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Gerup Gerak Khas (GGK).

Akan tetapi tahukah anda siapa yang mula-mula mencipta teknik tersebut dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)?

Beliau merupakan veteran Paskal dan antara salah seorang individu yang dipertanggungjawabkan bagi penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Terumbu Layang-layang pada 1980an.

Bagi Kepten (K) Ahmad Ramli Kardi, 60, cetusan idea itu lahir pada 1980 selepas melihat betapa pentingnya teknik sedemikian diaplikasikan anggota Paskal yang perlu melaksanakan operasi di kawasan maritim.

“Saya dapat idea ini semasa menjalani kursus US Navy Seal Tentera Laut Amerika Syarikat di Naval Amphibious Base Coronado, San Diego. Saya tanya kepada mereka tetapi mereka hanya berkata ‘you watch too much Hollywood’. Sekembali ke tanah air, saya ambil inisiatif sendiri. Jadi saya buat percubaan pertama terjun di Drop Zone (DZ) Paskal di Lumut, Perak dari pesawat Wasp. Alhamdulilah, segala cabaran diatasi

“Selepas itu, kami terus berlatih dan memperkemaskan teknik setiap masa berdasarkan keperluan operasi dan pemodenan peralatan,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Tambah Ahmad Ramli, teknik ‘Water Jump’ mempunyai risiko dan cabaran yang hampir sama dengan terjunan di daratan.

“Bezanya kita bawa peralatan selam lengkap dan perlu longgarkan ‘strap’ di dada pada paras 1,000 kaki. Jadi apabila mendarat dalam air cuma buka ikatan sahaja.

“Terjun dengan menggunakan teknik ‘Water Jump’ tidak boleh lebih daripada 14,000 kaki kerana oksigen semakin berkurangan,” ujarnya.

Anak kelahiran Bagan Datuk, Perak ini memulakan perkhidmatan dalam TLDM pada 1977 sebagai anggota lain-lain pangkat (LLP) dan ditugaskan di kapal pertama iaitu Kapal Diraja (KD) Langkawi dengan kepakaran Radar Plotter (RDP).

Selepas setahun di atas kapal, beliau mengikuti kursus asas Komando Paskal di Surabaya, Indonesia bersama Kor Marinir Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) dengan 60 anggota lain. Beliau juga turut mengikuti pelbagai kursus lain semasa dalam perkhidmatan termasuk kursus lanjutan pegawai di Kem Sebatang Karah, Port Dickson.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Ramli berkata, beliau juga menjadi individu pertama yang membuat prosedur operasi standard (SOP) teknik menembak menggunakan senjata raifal penembak tepat dari helikopter.

“Masa itu tidak dibenarkan menggunakan peluru hidup dari helikopter kerana takut kelongsong terkena kipas . Jadi kita fikir macam mana nak perangkap kelongsong yang terkeluar.

“Jadi saya gunakan jaring dan akhirnya setelah dibuat ujian demi ujian SOP diluluskan. Mula-mula dibuat pun kita hanya gunakan raifal M-16 dan tembakan dari helikopter Wasp,” jelasnya.

Ahmad Ramli juga merupakan individu yang menubuhkan pasukan payung terjun TLDM ‘Flying Frog’ pada 1990an.

“Masa itu kami hanya sewa payung terjun daripada Kelab Payung Terjun Wilayah di Melaka untuk menyertai kejohanan antara perkhidmatan ATM. Selepas beberapa tahun barulah dapat peralatan lengkap dari Perancis.

“Antara kejayaan yang sejurus daripada penubuhan pasukan termasuk penyertaan di peringkat tempatan dan antarabangsa di samping penyertaan wakil TLDM dalam Ekspedisi Penerjunan Kutub Utara pada 1998,” ujarnya.

Ahmad Ramli turut memberi kata-kata perangsang dan pesanan buat anggota komando sekarang agar terus berkhidmat dengan cemerlang bagi menjaga keselamatan negara.

“Pada saya Paskal adalah satu kehidupan dalam komuniti yang memiliki ‘roh’. Roh ini yang menjadikan Paskal hebat, bukan kerjaya. Jika seseorang itu mahu menjadikan ia sebagai kerjaya, tidak akan ke mana-mana.

“Sebab itu kami sanggup berkorban segalanya demi negara. Malah, ikatan kami dalam kalangan anggota Paskal begitu akrab walaupun ada yang 
kena ‘balun’ sewaktu
 latihan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN