Kim Swee senarai 11 muka baharu - Utusan Malaysia

Kim Swee senarai 11 muka baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Ke­tua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 26 pemain termasuk 11 muka baharu menjalani latihan pusat di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula 10 Februari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan latihan pusat berkenaan adalah sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-22 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Phnom Penh, Kemboja dari 17-26 Februari ini.

Daripada 26 pemain tersebut, Kim Swee mengekalkan 15 pemain yang menyertai Jelajah Thailand, bulan lepas dan menyenaraikan 11 muka baharu selepas mengambil keputusan menggugurkan lapan pemain daripada senarai 23 pemain ke Thailand.

Sebelas muka baharu berkenaan adalah penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan (Johor Darul Ta’zim ), R. Dinesh (Pahang), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC) dan Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United).
 Pemain-pemain lain adalah Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur), Ariusdius Jais (Sabah), Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama) dan Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC).

FAM memaklumkan Muhammad Haziq, Dominic, Faisal, Syahmi dan Hadi merupakan anggota skuad B-23 kebangsaan pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, manakala, Ariff, Ariusdius dan Izzan dipanggil pada kem latihan pusat bulan lalu, tetapi, tidak dibawa pada Jelajah Thailand kerana kecederaan.

Kenyataan tersebut menjelaskan skuad B-22 negara akan menjalani latihan lima hari bermula 11 Februari di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum Kim Swee menyenaraikan barisan 23 pemain terakhir yang akan terbang ke Kemboja pada 15 Februari ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari diikuti Indonesia pada 20 Februari, sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.

Juara bertahan, Thailand mengetuai cabaran kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste and Filipina. Tiga pasukan iaitu Singapura, Brunei dan Laos mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan itu yang kali terakhir diadakan pada 2005, namun, tidak menyatakan punca mereka berbuat demikian. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN