Kim Swee berang perlakuan TFC II - Utusan Malaysia

Kim Swee berang perlakuan TFC II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENDALI skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee ternyata berang dengan sikap jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan yang gagal memberikan sebarang respon dalam usaha untuk mendapatkan pemain pasukan itu menjelang Kejua­raan B-22 AFF 2019 di Kemboja minggu depan.

Selepas lima daripada 26 pemain tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing, Kim Swee membuat keputusan memanggil tiga pemain baharu iaitu Muhamad Danish Haziq Saipul dari Negeri Sembilan dan K. Thivendran (PJ City FC), manakala TFC II terus membisu tanpa sebarang maklum balas terhadap panggilan ber­kenaan.

Kata Kim Swee, beliau tidak melenting sekiranya pasukan enggan melepaskan pemain masing-masing, namun mereka perlu beri maklum balas dan bukannya bersikap mendiamkan diri.

“Saya melalui isu ini sudah banyak kali apabila pasukan tidak melepaskan pemain, jadi pernahkah saya melenting?

“Tetapi apabila mereka tidak membalas mesej, tidak menjawab telefon sebagai maklum balas, ini menunjukkan sikap tidak profesional.

“Saya bukan marah kerana mereka tidak melepaskan pemain tetapi saya marah kerana sikap mereka.

“Jika enggan melepaskan pemain itu tidak me­ngapa tetapi kena beri respon supaya kita sedia maklum,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan pusat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Kim Swee turut mempersoalkan kepimpinan jurulatih TFC II selepas beliau gagal memberikan kerjasama yang baik terhadap panggilan skuad negara.

“Jika perkara sebegini beliau tidak mampu kendalikan dengan baik, bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku atas padang?” soal Kim Swee.

Sebagai rekod, skuad B-22 kebangsaan menjalani latihan selama lima hari bermula Ahad lalu sebelum terbang ke Phnom Penh pada 15 Februari ini bagi menghadapi Kejuaraan B-22 AFF 2019.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari di­ikuti Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN