JOHOR BAHRU 14 Feb. – Tidak ramai yang mengetahui bahawa Arca Kilometer Sifar kebangsaan terletak di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini.
Mungkin sebelum ini tidak ramai yang perasan kewujudan Kilometer Sifar kebangsaan itu malah ada yang menganggapnya tidak lebih daripada sebuah sekeping batu papan tanda bersama-sama petunjuk jarak Kilometer Sifar sahaja.
Justeru langkah pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memartabatkan Kilometer Sifar itu yang juga dikenali sebagai Kilometer Sifar Johor Bahru dengan membina arca amat bertepatan.
Arca Kilometer Sifar kebangsaan itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada awal bulan ini sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019.
Pembukaannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin dan diiringi Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman.
Serentak itu diadakan Larian Kilometer Sifar 2019 melibatkan 300 peserta bagi kategori Terbuka Dewasa melibatkan 12 kilometer (km) dan kategori Pelajar dengan 200 peserta (5 km).
Amran ketika ditemui berkata, sebagai nilai tambah pihak MBJB berusaha membina sebuah monumen yang berupaya menjadi daya tarikan pelancong ke Johor Bahru.
Beliau berkata, langkah menjadikannya sebagai Kilometer Kebangsaan kerana arca berkenaan mempunyai nilai-nilai komersial termasuk nilai-nilai pensejarahan bandar.
Arca tersebut katanya, terletak di lokasi yang mudah dikunjungi dan juga sebagai aset pelancongan yang diminati pelancong asing untuk bergambar.
Amran berkata, kedudukan arca itu merupakan batu kilometer sifar untuk benua Asia dan juga bermulanya sistem perbatuan di benua Asia yang mempunyai sejarahnya tersendiri.
Kilometer sifar jelasnya, merupakan titik pangkal bagi sesebuah bandar, laluan jalan raya atau rangkaian jalan raya kebangsaan dan kilometer sifar di Semenanjung Malaysia terletak di hadapan bangunan MBJB dan bangunan Ibu pejabat Pos Johor Bahru.
“Daripada segi sejarah, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila dibuka kepada lalu lintas pada 1924. Johor Bahru telah menjadi kilometer sifar sejak 91 tahun dahulu.
“Mengapa batu titik kilometer sifar itu tidak terletak di Kuala Lumpur? Ini kerana Kuala Lumpur terletak lebih 380 km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40 km dari permulaan Jalan Persekutuan 2,” katanya.










