KUALA LUMPUR 26 Mac – Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 5 Mac ini untuk pengurusan semula kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang didakwa atas 35 pertuduhan rasuah berkaitan konsesi balak berjumlah USD63.3 juta (RM263 juta).
Ia bagi membolehkan segala dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan kelak diserahkan kepada pihak pembelaan.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada barisan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran
“Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan pada bila-bila masa,” kata Raja Rozela.
Dalam prosiding ini, mahkamah turut dimaklumkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berhubung kes berkenaan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Pada masa sama pihak Mahkamah turut menegur dan menasihatkan pihak pembelaan dan pendakwaan supaya berkomunikasi dengan lebih profesional berhubung kes ini. – UTUSAN ONLINE










