KUALA LUMPUR 26 Feb. – Mahkamah Sesyen hari ini dimaklumkan kes pecah amanah dan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sedang dalam proses untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Peguam bela tertuduh, Datuk K. Kumaraendran memaklumkan pihaknya akan menfailkan permohonan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi selepas kesemua dokumen dari pihak pendakwaan diterima.
Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar tidak membantah permohonan tersebut selain memaklumkan mahkamah pihaknya telah menyerahkan baki 32 dokumen berkaitan kes itu daripada pihak pembelaan.
Azura menetapkan 4 April depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan status mengenai permohonan pihak pembelaan.
Pada 14 Disember tahun lalu, Mohd. Isa mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015. – UTUSAN ONLINE










