KUALA LUMPUR 26 Feb. – Kertas siasatan dan hasil laporan bedah siasat kali kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas dan laporan bedah siasat itu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat lalu.
“Pada masa sekarang, polis menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk langkah seterusnya.
“Setakat ini dilaporkan bahawa Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menerima kertas bedah siasat dan menghantar laporan tersebut,” katanya kepada wartawan dalam sidang akhbar Majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke 63 dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Cheras hari ini.
Mohamad Fuzi memberitahu, pihaknya dan pemimpin tertinggi polis masih tidak mengetahui kandungan laporan bedah siasat kedua itu lagi.
Terdahulu, media melaporkan Nazrin meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya dekat sini pada 14 Jun lalu selepas telefon bimbit miliknya dikatakan meletup.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.- UTUSAN ONLINE










