KUALA NERUS 19 Feb. – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memberi fokus terhadap usaha memperluas francais kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mempunyai niche sama, pada tahun ini.
Naib Cancelornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar berkata, inisiatif di bawah UMT Education 4.0 itu sekali gus bakal melonjakkan kewibawaan institusi berkenaan ke arah kesohoran ilmu kelautan seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan.
“Jika sebelum ini kita telah bekerjasama dengan Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI), insya-Allah kita akan membina kerjasama dengan sebuah universiti baharu yang berkait rapat dengan maritim iaitu, Meritus University.
“Selain itu, kita juga akan mempergiatkan program mobiliti pensyarah dengan membuka ruang kepada mereka untuk memberi syarahan atau mengajar di institusi luar UMT sebagai pendedahan untuk menjadi ikon wilayah atau pemain global di samping memperkukuhkan jalinan UMT dengan rakan strategik lain,” katanya
Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2019 di Dewan Sultan Mizan UMT di sini semalam.
Menurut Dr. Nor Aeini, UMT juga akan menawarkan program ijazah antarabangsa (IDP) bagi sesi pengambilan September depan bagi meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa ke UMT. – UTUSAN ONLINE









