KERJASAMA UMNO-Pas adalah kerjasama dan persefahaman politik yang masih baharu.
Ia belum lagi menjadi satu kerjasama formal dan insya-Allah akan bertumbuh dan mengukuh secara organik sesuai masa.
Meskipun dalam peringkat awal, ia telah membuahkan hasil memberangsangkan setakat ini terutama bila ia melibatkan isu-isu strategik Islam dan Melayu.
UMNO sangat memahami halangan yang timbul untuk menjayakan apa jua kerjasama politik.
Setiap parti ada kekangan masing-masing dan halangan yang wujud adalah normal kepada sebuah perkara baharu dan jarang berlaku.
Oleh demikian, UMNO dan Pas harus diberi masa untuk mencari pelbagai titik persamaan dan sedikit demi sedikit mengurangkan perbezaan demi kepentingan umum.
Tunjang utama kerjasama ini adalah keikhlasan nurani, kesatuan niat dan amal semua pihak. Ini penting demi menjaga dan memakmurkan kepentingan bersama Melayu-Muslim yang dilihat kian tidak menentu dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Maknanya kerjasama UMNO-Pas menjangkaui Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.
Maka banyak perkara masih boleh diperbaiki, diteruskan dan diolah demi kepentingan kedua-dua parti dalam menawarkan alternatif kepada kerajaan PH.
Bagi PRK Semenyih pula, UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama untuk memenangkan Semenyih.
Kita berharap sokongan semua orang, Melayu dan bukan Melayu, Pas dan bukan Pas, pelbagai pertubuhan dan individu. Hakikatnya, pilihan raya ini bukan berkisar kerjasama UMNO-Pas semata-mata.
Fokus utama adalah kegagalan kerajaan kakistokrasi PH (pemerintahan di bawah pimpinan orang yang paling teruk dan tidak layak memimpin) dalam melaksanakan janji, merendahkan kos sara hidup, harga barangan harian serta hal-hal asas ekonomi lain.
Semua isu ini amat dirasai rakyat di Semenyih dan seluruh negara ketika ini.Kerjasama UMNO dan Pas lebih besar dan strategik nilai serta kepentingannya dari hanya menghadapi sebuah pilihan raya di Semenyih.
Ia berkisar tentang orang Melayu-Muslim yang berasa mereka semakin marginal.
Telah ada usaha-usaha sistematik yang mula mengetepikan mereka dari arus pembangunan dan wacana politik negara.
Identiti, agama dan cara hidup mereka semakin digugat, secara zahir mahupun tersembunyi agar ideologi Malaysian – Malaysia, No Race, No Religion direalisasikan.
Ideologi ini adalah manifestasi jelas kepada ketidakhirauan kerajaan PH dan ahli-ahli politik DAP terhadap budaya dan nilai hidup orang Melayu-Muslim.
Ia sama sekali mengetepikan karakter Malaysia dan mewujudkan keraguan pada diri orang Melayu terhadap kemampuan kerajaan PH, dalam menjaga nilai, cara hidup dan norma budaya orang Melayu pada abad ke-21.
Sehingga kini, tiada satu pun pelan konkrit menyentuh peningkatan tahap pendidikan, ekonomi dan sosiobudaya orang Melayu diumumkan serta dengan serius diusahakan oleh kerajaan PH.
Akhirnya, suka untuk diingatkan bahawa sebarang kenyataan daripada mana-mana pimpinan PH seakan tidak boleh diambil serius kerana semenjak sembilan bulan lepas, segala janji dalam manifesto mereka gagal ditunaikan.
Apatah lagi, pelbagai insiden yang terjadi menyentuh kredibiliti mereka telah terserlah.
Kalau kelayakan akademik mereka pun menjadi perdebatan umum, inikan pula kenyataan politik mereka!!!
DATUK SERI MOHAMAD HASAN ialah Timbalan Presiden UMNO.










