Kereta Mitsubishi Storm terjunam di Pulau Warisan berjaya dinaikkan - Utusan Malaysia

Kereta Mitsubishi Storm terjunam di Pulau Warisan berjaya dinaikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 9 Feb. – Kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini malam tadi, akhirnya berjaya dinaikkan kira-kira pukul 10.05 pagi ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, kenderaan pacuan empat roda itu dibawa naik dengan menggunakan peralatan khas, Vehicle Recovery System (VRS) 2000.

Katanya, usaha menaikkan kenderaan berwarna kuning itu hari ini bermula kira-kira pukul 8 pagi tadi lagi selepas lokasinya dikesan pada kedalaman 9.14 meter dari dasar sungai.

PASUKAN penyelamat menarik pacuan empat roda yang telah diapungkan ke jeti polis marin. - UTUSAN ONL
PASUKAN penyelamat menarik pacuan empat roda yang telah diapungkan ke jeti polis marin. – UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

Bagaimanapun, katanya, seorang mangsa yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan empat beranak dalam kejadian kereta terjunam itu, Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, masih belum ditemukan hingga kini. 

“Radius pencarian meliputi 60.96 meter dari lokasi lemas dengan menggunakan dua kaedah iaitu pencarian di permukaan dan selaman.

“Untuk meluaskan pencarian mangsa dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan tali. Kawasan muara sungai ini mempunyai banyak lumpur dan batuan mungkin akibat kesan tambakan,” katanya. 

PASUKAN penyelamat menarik pacuan empat roda yang telah diapungkan ke jeti polis marin. - UTUSAN ONL
PASUKAN penyelamat menarik pacuan empat roda yang telah diapungkan ke jeti polis marin. – UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

Azlimin memberitahu, Bomba turut meningkatkan keanggotaan penyelam daripada 10 orang pagi ini dengan akan memanggil 50 orang lagi bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat itu. 

“Operasi PPDA agak terbatas dari segi kecepatan berbanding dengan operasi di darat kerana wujud unsur kepenatan yang lebih cepat jadi cara paling bagus adalah dengan menambah keanggotaan. 

“Disebabkan arus tidak terlalu kuat kita rasa perlu buat pencarian dengan lebih cepat supaya lebih mudah kerana berkemungkinan pada sebelah petang nanti arus akan lebih kuat,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.

Selainnya, empat lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamatkan empat beranak di dalam kereta terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN