Kereta jadi 'sandwich, pemandu terselamat - Utusan Malaysia

Kereta jadi ‘sandwich, pemandu terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 9 Feb. – Seorang pegawai Imigresen berdepan detik mengerikan apabila kereta dipandunya merempuh belakang sebuah bas ekspres sebelum dirodok pula sebuah bas ekspres lain dari belakang di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang, pemandu kereta jenis Toyota Vios, Che Wan Zaidi Che Wan Mat Zin, 31, yang berasal dari Paka, Terengganu terselamat dan hanya cedera ringan walaupun kenderaannya remuk teruk di depan dan belakang.

Sementara itu, kesemua 33 penumpang serta pemandu dua bas ekspres terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan itu menyebabkan jalan tersebut sesak teruk sebelum diredakan dengan tindakan pantas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang bergegas ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.

KEADAAN Kereta Toyota Vios remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua buah bas ekspres di Ja
KEADAAN Kereta Toyota Vios remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua buah bas ekspres di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan, semalam. – UTUSAN ONLINE

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian sebuah bas ekspres dinaiki 17 penumpang telah membrek secara mengejut kerana cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti secara tiba-tiba. 
 
“Kereta Toyota Vios yang dipandu pegawai Imigresen berada di belakang bas menekan brek mengejut namun gagal mengelak daripada merempuh belakang bas ekspres terbabit. 
  
“Dalam masa sama, sebuah bas ekspres lain dari arah sama dinaiki 16 penumpang juga gagal membrek dan merempuh belakang kereta Toyota Vios itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd Taufik, Toyota Vios yang dipandu pegawai Imigresen itu remuk teruk di bahagian depan dan belakang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN