Keranda 152 protes ‘bunuh’ bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Keranda 152 protes ‘bunuh’ bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU bahasa menjadi konflik yang cukup hebat dalam kalangan para pejuang bahasa Melayu di negara kita apabila lulusnya Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967.

Rang undang-undang di bawah perkara 152 itu telah diluluskan Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat pada 3 Mac 1967 dengan undi 95 menyokong dan 11 menentang.

Perkara 152 ini memperuntukkan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) digunakan untuk maksud-maksud rasmi tetapi menambah bahawa, “Yang di-Per­tuan Agong boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dilanjutkan untuk apa-apa maksud yang difikirkan patut.”

Tambahan ini diang­gap oleh pencinta-pen­cinta bahasa sebagai se­ba­gai satu tolak ansur yang tidak perlu lagi ke­rana dengan ini memberi peluang kepada penggunaan bahasa tanpa batas-batas yang jelas.

Menurut Zurinah Hassan dalam buku Sasterawan Negara Usman Awang (1990), impian untuk melihat bahasa Me­layu berada di tempat yang penting telah mencetuskan bantahan berikutan lulusnya Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967.

Berikutan dengan lulusnya rang undang-undang tersebut, pencinta-pencinta bahasa yang kebanyakannya terdiri daripada guru Melayu dan penulis telah membuat perarakan bantahan selepas berhimpun di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.

Perarakan beramai-ramai yang bertemakan Keranda 152 itu sebagai petanda kematian Bahasa Melayu yang sebelum ini pernah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa “Bahasa Kebangsaan Bahasa Rasmi Tunggal” negara seperti disiarkan oleh Utusan Malaysia terbitan pertama pada 1 September 1967.

Menurut Zurinah lagi beberapa buah sajak yang menyuarakan bantahan terhadap rang undang-undang tersebut telah dikumpul dan diterbitkan secara stensilan dalam antologi berjudul Keranda 152.

“Oleh yang demikian, semua sajak dalam antologi itu menyatakan rasa tidak puas hati kerana kerajaan tidak bersikap tegas de­ngan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

“Keseluruhan sajak itu menyeru orang Melayu supaya berbuat sesuatu untuk menjamin kedudukan bahasa Melayu. Jika kedudukan bahasa Me­layu terancam bermakna kehidupan bangsa Me­layu sendiri turut terancam kerana bahasa ialah kekuatan bangsa itu sendiri” (Zurinah Hassan 1990: 43).

Terdapat empat buah sajak Usman Awang dalam antologi ini. Sebuah daripadanya berjudul Keranda 152.

Anak Melayu

Namamu telah diseru

Jawablah

Sebelum lidahmu jadi bisu

Sajak Keranda 152 yang bernada protes dan sinis dihasilkan oleh Usman Awang, seorang nasionalis yang berani berkata benar demi cintanya yang mendalam terhadap bangsa dan bahasanya.

Menurut buku Prosiding Pemikiran Sasterawan negara Usman Awang (2006) yang di selenggarakan oleh Mohd. Amran Daud dan Mohd. Ikhram Fadhly Hussin, Usman begitu prihatin soal isu nasional yang besar ini, tentang kedaulatan bahasa Melayu memperlihatkan komitmen Usman sebagai penyair intelektual masyarakat.

Usman begitu pantas ba­ngun menggunakan bahasa kreatifnya sebagai wahana ideologinya mengenai nasib bahasa Melayu yang dikorbankan pihak penguasa menerusi sajak Keranda 152 (Mohd. Amran Daud dan Mohd. Ikhram Fadhly Hussin 2006: 21).

Esok: Utusan Melayu dibakar di DBP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN