KUALA TERENGGANU 21 Feb. – Kerajaan Pusat hari ini menyalurkan peruntukan berjumlah RM525,000 kepada kerajaan Terengganu untuk diagihkan kepada 3,219 mangsa yang terlibat dalam bencana Monsun Timur Laut (MTL) tahun 2018/2019.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dengan pemberian wang ihsan itu membolehkan setiap ketua isi rumah (KIR) menerima RM500 seorang.
Daerah Hulu Terengganu menerima peruntukan tertinggi iaitu RM242,500 diikuti Kemaman (RM85,000), Marang (RM72,000), Kuala Nerus (RM52,000), Kuala Terengganu (RM45,000), Setiu (RM16,000) dan Dungun (RM13,000).
Dalam sidang media selepas taklimat Khas Pasca Bencana MTL di wisma berkenaan, Dr. Wan Azizah berkata, kejadian yang berlaku akibat bencana monsun itu pada 2018/2019 mencatatkan penurunan dengan jumlah mangsa terlibat adalah 3,219 orang berbanding 7,483 mangsa pada 2017/2018.
Di samping itu jelas Timbalan Perdana Menteri, pada awal tahun ini, Terengganu juga terjejas akibat bencana ribut tropika Pabuk dan kerajaan Pusat juga menyediakan peruntukan mengenainya. – UTUSAN ONLINE











