ENAM tahun menceburi dunia hiburan tempatan, nama Elizabeth Tan sering menjadi perhatian masyarakat terutama orang Melayu.
Dalam mencipta nama, penyanyi yang mesra disapa sebagai Lizzy ini mengakui lebih dikenali dalam kalangan peminat Melayu berbanding bangsa sendiri.
Tidak fasih berbahasa Mandarin dan tidak ramai rakan berbangsa Cina, itu bagaimanapun tidak menghalang gadis berusia 26 tahun ini meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tercinta sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Baginya, kedatangan perayaan itu adalah ruang terbaik untuk mereka sekeluarga berkumpul sekali gus mengeratkan lagi tali persaudaraan.
“Keluarga kami sangat besar, bayangkan adik- beradik ayah saya 12 orang dan kami wajib pergi ke rumah mereka.
“Setiap tahun kami akan sediakan jadual bagi memastikan semua saudara telah dilawati pada hari tersebut,” jelas Lizzy yang menyambut perayaan itu di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Telah menempah kemeja T yang sama untuk setiap ahli keluarga, jelas Lizzy, mereka turut mempunyai logo khas yang dicipta sebagai lambang keluarga mereka.
Dalam kegembiraan itu, pemilik lagu Knock Knock ini turut mendedahkan dia takut menonton persembahan tarian singa yang biasa diadakan bersempena perayaan tersebut.
“Perasaan takut itu bermula sejak kecil dan sehingga kini saya masih mengalami fobia terhadap tarian itu. Mungkin kerana mata naga itu besar, jadi saya takut.
“Setiap kali tiba giliran tarian singa di rumah saudara, saya pasti akan berkurung di dalam bilik dan menunggu sehingga persembahan itu tamat,” katanya sambil tertawa.
Seksi
Menerima banyak maklum balas negatif terhadap penampilan seksinya menerusi muzik video single Semuanya Sudah, jelas Lizzy, dia tidak rasa apa yang tersarung pada tubuhnya itu keterlaluan untuk dipandang.
“Setiap apa yang saya pakai, saya akan rujuk dahulu pada ibu. Kalau ia berlebihan, ibu akan tegur. Jadi, kalau ibu masih okay, maksudnya tahap seksi itu tidak keterlaluan.
“Saya pun kurang pasti kenapa ada double standard pada kita artis Malaysia. Kami sering dibandingkan dengan artis luar. Kalau artis Korea yang berpakaian begitu mereka tak kata seksi, tapi kami seksi sedikit, terus dikecam.
“Saya tampil begini kerana ingin menunjukkan sisi berbeza diri saya,” jelasnya.
Bercerita soal lagu Semuanya Sudah, menurut Lizzy, dia menulis lirik lagu tersebut berdasarkan pengalaman sendiri selama ini.
Malah, dia sengaja memilih genre balada ringkas kerana sedar tahap vokalnya yang tidak begitu mantap.
“Saya merancang masuk kelas vokal, tapi buat masa ini saya tidak dapat lagi masa yang sesuai untuk ke sana.
“Kalau boleh saya nak kelas vokal itu setiap hari, tapi jadual saya pula tidak menentu,” katanya yang akan keluar dengan filem Misteri Delaila bergandingan bersama pelakon Zul Ariffin.
Gelisah
Bukan sahaja filem, Lizzy juga sebenarnya terbabit dengan drama Senafas Rindu yang bakal bersiaran di slot Mega Drama, Astro Ria bulan ini.
Mengaku lebih berminat untuk berlakon berbanding menyanyi, jelas Lizzy, dia mengalami masalah kegelisahan melampau sekiranya mahu membuat persembahan.
“Saya tak boleh buat persembahan di hadapan lebih 10 orang. Perasaan cemas, berdebar dan gelisah yang melampau akan membuatkan saya tidak selesa di pentas.
“Doktor nasihatkan saya supaya cuba lawan perasaan itu tapi saya tidak mampu.
“Setiap kali mahu membuat persembahan, saya tidak tidur malam. Malah disebabkan terlalu takut, saya tidak boleh bernafas dengan betul, tekak saya menjadi sempit dan tidak boleh mengeluarkan suara dengan baik,” luahnya.
Menurut Lizzy, ibunya tidak menghalangnya untuk berundur daripada bidang nyanyian, namun setakat ini dia masih belum membuat sebarang keputusan.
“Keluarga tidaklah terlalu menyokong saya dalam industri ini. Kalau saya tukar kerjaya mereka suka.
“Saya ada juga terfikir nak berhenti menyanyi, tapi sayang pula dengan usaha selama enam tahun ini,” luah Lizzy.
Berharap dapat mengimbangi dunia nyanyian dan lakonan dalam satu masa, penyanyi Polis Entry ini berharap lebih ramai pengarah memandang bakatnya dalam lakonan selepas ini.
“Bila berlakon saya tidak secemas menyanyi. Saya boleh kawal diri bila membawakan karakter yang diminta.
“Saya sangat suka berlakon, Walaupun ia lebih penat dan makan masa yang lama, tapi saya suka semua pengalaman itu,” jelasnya yang akan muncul dalam sebuah filem aksi tidak lama lagi.
Buka perniagaan
Mempunyai pelan yang tersusun untuk digerakkan sepanjang 2019, Lizzy turut mengeluarkan produk wangian mandian di bawah jenamanya sendiri.
“Saya ada hasilkan produk ubat gigi dan gel mandian yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Sengaja saya pilih dua produk ini kerana saya sangat suka pada benda-benda yang wangi. Dalam bilik mandi saya ada enam sabun mandian berbeza bau.
“Ini adalah projek saya dan seorang teman. Setakat ini segala proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah siap dijalankan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan,” jelas Lizzy.
Teman rapat
Pernah putus cinta dengan seorang lelaki Melayu, Lizzy mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang kini menjadi teman rapatnya.
“Setakat ini hanya dia teman lelaki paling rapat dengan saya. Dia berbangsa Melayu dan kami sudah dua tahun berkawan.
“Saya memang suka berkawan dengan orang Melayu, bahkan sejak sekolah saya memilih untuk bercinta dengan lelaki Melayu,” katanya.










