Keputusan projek ECRL diumum secepat mungkin - PM - Utusan Malaysia

Keputusan projek ECRL diumum secepat mungkin – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 1 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, keputusan perbincangan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diumumkan secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, ketika ini projek berkenaan masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

Menurutnya, beliau masih tidak boleh memaklumkan status perkembangan projek berkenaan kerana masih menunggu keputusan perbincangan itu.

“Saya tidak boleh cakap apa yang berlaku kerana masih tunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.

Laporan Reuters semalam mendakwa China menawarkan untuk mengurangkan hampir separuh kos pembinaan ECRL bernilai AS$20 bilion dalam usaha menyelamatkan mercu tanda projek pembangunannya di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, kenyataan bercanggah beberapa menteri Malaysia membuatkan hasil tawaran terbaru itu menjadi tanda tanya, sekali gus mendedahkan status ERCL dan cabaran politik serta diplomatik yang dihadapi kerajaan di bawah Dr Mahathit, dalam perundingan semula kontrak terbabit.

“Jika hanya mengenai kos, China menawarkan pengurangan yang besar, hampir separuh,” kata salah satu sumber yang mengetahui intipati rundingan yang sedang berjalan.

China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) menawarkan untuk mengurangkan separuh kos pembinaan berjumlah RM67 bilion ringgit atau AS$16.39 bilion bagi jajaran landasan sepanjang 688 kilometer, kata sumber berkenaan.

Pengurangan itu hanya bagi kos membabitkan pembinaan, tidak termasuk kos kadar faedah dan kos pengambilan tanah.

Walaupun ada tawaran pengurangan kos, kerajaan Malaysia memutuskan untuk membatalkan kontrak berkenaan bulan ini, kata sumber yang enggan dikenali kerana membabitkan isu sensitif.

Ditanya sama ada beliau mahu menerima cadangan China bagi mengurangkan separuh kos ECRL, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang ‘andaian secara hipotesis’.

Berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa nilai ringgit kini mencatat nilai paling rendah dalam sejarah berbanding baht Thailand, Dr. Mahathir berkata, prestasi ringgit mengukuh pada paras RM4.10.

“Bukan kerana ringgit yang jatuh, yang jadi masalah adalah dolar Amerika Syarikat (AS) naik kerana apa yang dilakukan (Donald) Trump (Presiden AS). Apabila dolar AS naik, ringgit jatuh. Bukan jatuh betul tapi dari segi peratusan.

“Perkara seperti ini tidak boleh diambil sebagai ukuran tepat kerana ada lain-lain ukuran yang perlu diambil kira dalam menentukan prestasi ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×