CUNEO 18 Feb. – Kekalahan memalukan 0-20 Pro Piacenza kepada AC Cunoe dalam aksi Serie C adalah ‘penghinaan kepada sukan’ kata Presiden Persatuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina.
Piacenza yang berdepan krisis kewangan serius beraksi dengan hanya tujuh pemain remaja termasuk seorang tukang urut bagi berdepan Cuneo di Stadio Fratelli Paschiero.
Barisan pemain senior kelab itu termasuk kakitangan kejurulatih melancarkan mogok bagi menuntut tunggakan gaji mereka selain mereka terpaksa memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada Pro Vercelli, Juventus II dan Siena.
Sekiranya mereka tidak beraksi dalam perlawanan semalam, mereka akan disingkirkan daripada liga itu dan kini sudah kehilangan lapan mata musim ini.
Dalam perlawanan itu, pemain kelapan Piacenza hanya dibenarkan masuk ke dalam padang pada minit ke-61 kerana tidak memiliki dokumen pendaftaran yang sah dan Gravina menegaskan, tindakan tegas akan diambil bagi mengelakkan insiden memalukan itu daripada terus berulang.
“Apa yang berlaku di Cuneo adalah penghinaan kepada sukan dan prinsip asas bola sepak.
“Ini adalah memalukan, FIGC bertanggungjawab melaksanakan semua undang-undang dan perlu melindungi minat penyokong, usahawan dan kredibiliti liga ini. Aksi yang kami lihat ini adalah kali terakhir akan berlaku,” katanya.
Kejayaan Cuneo itu menyaksikan mereka berjaya menggandakan jumlah jaringan mereka musim ini dan berada di kedudukan ke-18.
Penyerang Hicham Kanis dan Edoardo Defendi masing-masing menjaringkan enam dan lima gol pada separuh masa pertama bagi membolehkan mereka mendahului 16-0 sebelum Michele Emmausso dan Francesco De Stefano melengkapkan hatrik pada penghujung permainan.
Minggu lalu, pasukan Serie C, Matera disingkirkan daripada liga itu kerana gagal memenui keperluan perlawanan selain berdepan masalah kewangan tersendiri.-AGENSI










