berdiri di hadapan rak kasut yang terletak di dalam ruang tamu rumahnya di Batu Caves, Selangor, pemuda yang memakai topi berwarna merah itu kemudiannya mengeluarkan beberapa pasang kasut dari rak tersebut.
Kasut-kasut itu diletakkan di lantai. Dia kemudiannya duduk sambil memberus kasut-kasut tersebut bagi membersihkannya.
Menjadi rutin Dulkifli Djuaeri, 37, jika ada waktu terluang di rumah, dia akan melihat serta membersihkan koleksi kasut Adidas yang ada dalam simpanannya.
Jelas Dulkifli yang berasal dari Kuala Lumpur, terdapat lebih 200 pasang kasut Adidas yang berjaya dikumpulnya.
“Kesemua kasut jenama Adidas ini adalah koleksi vintaj yang dikeluarkan antara tahun 1950-an hingga 1990-an.
“Saya menyimpan koleksi-koleksi kasut ini kerana minat. Bukan mudah untuk mendapatkan kasut-kasut sebegini pada masa ini,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu kepada K2 ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Tambahnya, koleksi kasut Adidas vintaj yang disimpannya terdiri daripada pelbagai warna dan jenis.
Obsesi mengumpul kasut tersebut juga telah mendorong Dulkifli membuat rak-rak kasut khas yang diletakkan di ruang tamu rumahnya untuk menyimpan koleksi kasut tersebut.
Dulkifli mula terlibat mengumpul kasut berjenama Adidas itu sejak tahun 2011.
Pada mulanya dia berminat dengan barang-barang bundle (terpakai) dan pada masa sama ketika itu kasut Adidas Rekord menjadi kegilaan mereka yang menggemari barangan bundle.
Akhirnya setelah mencari-cari kasut tersebut, dia dapat juga membelinya sewaktu berlangsungnya Festival Vintaj Kuala Lumpur pada 2011.
“Kasut Adidas Rekord saya beli pada harga sekitar RM550 pada waktu itu. Kasut ini mempunyai warna yang agak menonjol dan itu juga menarik minat saya.
“Ia adalah model pertama Adidas Rekord yang dihasilkan sekitar tahun 1970-an,” katanya.
Paling lama
Dulkifli yang bekerja di sebuah syarikat swasta menjelaskan, kasut paling lama yang ada dalam simpanannya kini adalah Adidas jenis Rom yang dihasilkan di Jerman Barat pada tahun 1959.
Dia membeli kasut tersebut lima tahun lalu pada harga RM1,200.
Sepanjang mengumpul kasut tersebut, Adidas jenis Reviera merupakan kasut termahal yang pernah dibelinya.
Adidas Reviera yang dihasilkan pada tahun 1969 itu dibeli oleh Dulkifli pada harga RM1,500.
Jelasnya, dia tidak kisah untuk membelanjakan sejumlah wang bagi mendapatkan kasut Adidas vintaj.
Baginya dia mendapat satu kepuasan apabila dapat menyimpan koleksi-koleksi lama kasut Adidas tersebut.
“Bagi saya kasut-kasut Adidas lama ini unik kerana sukar untuk dicari pada masa kini. Bagi pengumpul-pengumpul kasut Adidas ini satu kepuasan bagi diri apabila kita dapat menyimpan kasut yang pengumpul lain tidak ada,” katanya.
Untuk mendapatkan kasut-kasut Adidas vintaj, kebiasaannya dia akan ke kedai-kedai bundle selain bertukar-tukar dengan komuniti pengumpul Adidas yang lain.
Katanya, dalam koleksi kasut Adidas simpanannya, Dulkifli amat menyayangi tiga pasang kasut Adidas model Oasis yang dihasilkan di Perancis sekitar tahun 1980-an.
“Ketiga-tiga Adidas Oasis ini berlainan model kerana dikeluarkan pada tahun berbeza. Untuk ketiga-tiga pasang ini saya telah membelanjakan wang sekitar RM2,670 untuk mendapatkannya.
“Salah satu kasut ini juga kawan saya yang tolong belikan ketika dia berada di Jepun,” katanya.
Dulkifli menjelaskan, terdapat pengumpul kasut Adidas yang berminat dengan kasutnya lalu menawarkan untuk menukarnya dengan kasut mereka yang lain.
“Pernah seorang pengumpul kasut menawarkan kepada saya kasut edisi terhad terkini, Adidas Ardwick yang berharga RM4,500 dan hanya ada 500 pasang yang dikeluarkan untuk ditukarkan dengan Adidas Oasis saya. Tetapi saya tidak mahu kerana tahu Adidas Oasis ini antara model yang susah didapati dan saya mahu menyimpannya,” jelasnya.
Tema
Dalam pada itu, Dulkifli menjelaskan, dia sendiri tidak tahu berapa banyak wang yang telah dihabiskannya untuk mendapatkan keseluruhan koleksi kasut Adidas tersebut.Namun jika dihitung nilai pasaran sekarang untuk kesemua kasut yang berada dalam simpanannya adalah sekitar RM180,000.
Kasut-kasut Adidas yang dikumpul olehnya merangkumi pelbagai jenis dengan kombinasi warna yang berbeza.
Antara jenis kasut Adidas yang ada dalam simpanannya termasuklah Rekord, Reviera, Rom, Siri Bandar dan Siri Pulau.
Untuk Adidas Siri Bandar yang dikumpulnya termasuklah Stockholm, Brussel, Berlin, Munich dan lain-lain lagi.
“Untuk Adidas Siri Bandar ini ia dikeluarkan dengan pelbagai warna bertemakan bandar-bandar utama di beberapa negara seperti Sweden, Jerman, Belgium dan lain-lain.
“Selain itu, saya turut menyimpan Adidas Siri Pulau. Untuk kasut ini ia bertemakan beberapa pulau terkenal seperti Tahiti, Jamaica, Samoa dan lain-lain lagi,” katanya.
Selain menyimpannya, Dulkifli turut tidak menolak untuk menjual koleksi kasut Adidas miliknya jika ada orang lain yang berminat.
Dia pernah menjual kasut Adidas dari Siri Bandar iaitu Adidas Brussel pada harga RM2,600. Kasut itu istimewa kerana dihasilkan di Australia dan mempunyai tapak berwarna hitam.
Menurutnya, harga sesuatu kasut juga boleh melonjak tinggi sekiranya kuantiti yang ada dalam kalangan pengumpul tidak banyak.
Sebagai contoh, jika kasut jenis Adidas Brussel tidak banyak dimiliki para pengumpul, harganya boleh melonjak tinggi.
Selain itu, warna dan tempat dihasilkan juga boleh menjadi faktor penentuan harga sepasang kasut tersebut.
Menurutnya, komuniti-komuniti pengumpul kasut Adidas juga akan melakukan pertukaran antara satu sama lain jika mereka berkenan dengan sesuatu model.
AOA
Mengenai komuniti pengumpul kasut Adidas, katanya, golongan ini datang dari serata dunia dan mereka menggunakan media sosial untuk berkomunikasi.
Jelas Dulkifli, dia juga mendapatkan maklumat mengenai kasut-kasut Adidas melalui pengumpul yang mempunyai minat yang sama dengannya.
“Pernah saya terjumpa kasut Adidas Cord yang dijual pada harga RM250 dan Monte Carlo berharga RM550 di kedai bundle sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Memandangkan saya tidak mengetahui nilai sebenar kasut tersebut saya telah bertanya kepada salah seorang pengumpul dari Britain, Neil Selvey tentang kasut tersebut.
“Dia menyatakan nilai tersebut amat berbaloi untuk dibeli. Saya selalu mendapatkan pandangan daripadanya kerana dia antara pengumpul kasut Adidas yang mempunyai pengetahuan amat tinggi mengenainya,” katanya.
Tambahnya, melalui perkenalan dengan Neil Selvey juga, dia telah dijemput menyertai komuniti antarabangsa Adidas Only Addiction (AOA).
Komuniti itu menjadi platform untuk pengumpul-pengumpul kasut Adidas bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain.
Tambahnya, melalui komuniti itu juga Dulkifli telah terpilih untuk menjadi antara penyumbang dalam penerbitan buku AOA. Buku AOA yang telah diterbitkan pada 2016 dan 2017 itu menceritakan tentang lima kasut Adidas kesukaan pengumpul-pengumpul dari serata dunia.
“Dalam buku itu saya telah menampilkan lima kasut Adidas kesukaan saya. Setiap kasut akan disertakan dengan maklumat di mana dan tahun bila ia dihasilkan.
“Selain buku tersebut, kini saya dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah buku khas menampilkan gambar dan cerita mengenai koleksi kasut Adidas saya. Jika tidak ada halangan, saya akan terbitkannya pada tahun ini juga,” katanya.
Mula mengumpul kasut Adidas sejak tahun 2011, Dulkifli Djuaeri mempunyai lebih 200 pasang kasut Adidas bernilai keseluruhan RM180,000.











