LONDON 25 Feb. – Bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton mendesak supaya penjaga gawang kelab itu, Kepa Arrizabalaga tidak lagi diberikan peluang untuk beraksi selepas ini kerana enggan dikeluarkan semasa aksi final Piala Liga, awal pagi tadi.
Manchester City berjaya mempertahankan kejuaraan itu selepas menang 4-3 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa sebarang jaringan sehingga habis waktu tambahan di Stadium Wembley.
Situasi luar biasa berlaku pada penghujung masa tambahan apabila pengendali Chelsea, Maurizio Sarri gagal mengeluarkan Kepa untuk digantikan dengan Willy Caballero.
Pemain Sepanyol iti dilihat berdepan masalah kekejangan selepas menyelamatkan percubaan Sergio Aguero tetapi ketika Sarri bersedia untuk memasukkan Caballero, Kepa memberikan isyarat bahawa dia enggan dikeluarkan.
Sarri yang berang dengan tindakan itu bertindak melepaskan kemarahan di dalam terowong ke bilik persalinan dan Caballero dilihat duduk semula di bangku simpanan.
Sarri kemudian menegaskan bahawa dia tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Kepa dan melihat perkara itu sebagai salah faham namun Sutton percaya pemain itu perlu dikenakan tindakan kerana tidak menghormati keputusan pengurus pasukan.
“Kepa tidak seharusnya bermain lagi dengan Chelsea. Ini seharusnya menjadi persembahan terakhirnya bersama Chelsea. Dia memalukan kelab dan saya tidak pernah lihat perkara seperti ini.
“Jika saya menjadi Sarri. Saya akan pergi. Awak tidak boleh dipandang rendah seperti ini. Kenapa tiada pemain mengheret Kepa keluar? Kepa harus dipecat, bukan Sarri.
“Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Macam mana Kepa boleh bermain dengan Chelsea lagi? Bagaimana dia mahu bermain untuk Sarri selepas ini? Dia perlu pergi tinggalkan Chelsea.
“Kepa atau Sarri harus tinggalkan kelab dan dalam situasi ini saya rasa Sarri akan pergi kerana dia berada di bawah tekanan yang sangat hebat.
“Paling memalukan, pemain tidak menghormatinya dan ia adalah mimpi ngeri buat mana-mana pegurus,” kata Sutton.-AGENSI











