KUALA LUMPUR 22 Feb. – Kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa jumlah penjawat awam perlu dikurangkan dilihat tidak kondusif untuk Pakatan Harapan (PH) yang sedang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, perkhidmatan awam adalah satu perkara penting bagi orang Melayu malah dianggap satu daripada hak istimewa orang Melayu.

Katanya, orang Melayu juga banyak bergantung harap kepada perkhidmatan awam untuk membina karier dan mencari nafkah bagi menampung kehidupan seharian.
“Saya fikir kenyataan Dr. Mahathir ini tidak kondusif untuk PRK DUN Semenyih kerana peratusan tinggi pengundi Melayu (68 peratus) boleh menyebabkan mereka (Melayu) akan memprotes kenyataan beliau dengan memberi undi kepada BN.
“Perkhidmatan awam adalah isu sensitif maka sebarang cadangan untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam, walaupun cadangan itu ada asasnya, ia tetap akan dipandang serong dan ditolak oleh orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, isu itu boleh memberi kesan kepada keputusan pengundi kerana isu tersebut pernah dibawa oleh beberapa pemimpin PH sebelum ini.
“Kesannya bergantung kepada sejauh mana parti lawan (BN) dan Bebas menjadikan ia modal kempen dengan jayanya.
“Secara langsung saya tidak pasti berapa ramai penjawat awam tinggal di sana tetapi ia berhampiran dengan Bangi, Kuala Lumpur, Cheras dan Putrajaya yang mana tempat penjawat awam bekerja.
“Saya lihat pertembungan antara PH dan BN pada kali ini akan jadi sengit,” katanya.











