MINGGU lalu, saya ditanya oleh seorang sahabat (selepas selesai menghadiri satu mesyuarat di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur). Kenapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak menyiasat kes pembunuhan Jamal Khashoggi? Kenapa pembunuhan warga Arab Saudi di Turki itu disiasat mereka, manakala pembunuhan seorang warga Korea Utara di negara kita pada 2017 lalu tidak menimbulkan reaksi sama daripada PBB?
Saya katakan kepada sahabat saya itu bahawa kes pembunuhan Khashoggi bukan hanya melibatkan undang-undang jenayah biasa, tetapi tertakluk kepada undang-undang antarabangsa.
Khashoggi adalah seorang wartawan (berusia 59 tahun), pada suatu ketika rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi, pernah menjadi penasihat kepada kerajaan, tetapi akhirnya menjadi pengkritik tegar Arab Saudi setelah meninggalkan negara itu untuk menetap di Amerika Syarikat.
Pada hari kejadian itu (2 Oktober 2018), dia ada di Istanbul, Turki dan telah memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di negara itu untuk menyelesaikan satu urusan peribadi. Sewaktu di situlah dia telah diseksa dan dibunuh oleh beberapa individu. Pembunuh-pembunuh Khashoggi ini khabarnya telah masuk ke Turki sebelum kejadian di Konsulat Arab Saudi itu dan sebaik sahaja mangsa dibunuh, mereka meninggalkan Turki dengan jet peribadi milik sebuah syarikat yang dikatakan ada hubungan rapat dengan individu tertentu di Arab Saudi.
Antarabangsa
Apa yang perlu diingat adalah dari sudut undang-undang am antarabangsa (public international law), konsulat Arab Saudi itu tidak tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan Turki. Prinsip ini dipanggil inviolability of foreign missions dan dinyatakan secara khusus dalam Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961, Artikel 22 Klausa 1, yang berbunyi “The premises of the mission shall be inviolable. The agents of the receiving State may not enter them, except with the consent of the head of the mission.”
Ini bermakna walaupun bangunan konsulat itu terletak di Istanbul, kerajaan Turki tidak dibenarkan memasuki bangunan tersebut untuk menjalankan apa-apa siasatan di dalamnya. Oleh itu, apakah yang sebenarnya berlaku di Konsulat Arab Saudi itu, siapakah yang membunuh Kashoggi, bagaimanakah dia dibunuh, apakah motifnya, apakah ada saksi dan sebagainya? – Kesemua ini sukar diketahi oleh kerajaan Turki. .
Siasatan PBB ke atas kes pembunuhan Khashoggi itu dikendalikan oleh Agnes Callamard, seorang special rapporteur on extrajudicial executions PBB. Beliau sebelum ini pernah menjadi penyiasat Amnesty International. Pemerhati melihat tindakan berani dan luar biasa PBB ini (yang pasti tidak disenangi oleh Arab Saudi) berbeza sekali dengan keengganan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebelum ini untuk bekerjasama dengan kerajaan Turki memulakan siasatan kes pembunuhan itu.
Guterres sebelum ini menjelaskan kepada wartawan bahawa dia tidak boleh memulakan siasatan ke atas kes pembunuhan Khashoggi melainkan ada mandat daripada Majlis Keselamatan PBB atau Perhimpunan Agung PBB. Sebenarnya ini adalah satu alasan yang lemah kerana sebelum ini sudah ada beberapa kes di mana Setiausaha Agung PBB telah menggunakan kuasa mereka sendiri melancarkan siasatan mengenai beberapa isu penting tanpa terlebih dahulu mendapatkan mandat daripada mana-mana pihak.
Lantik penyiasat
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB kemudian menyusul pula dengan mengumumkan pelantikan dua penyiasat lagi untuk membantu Callamard. Mereka ialah Helena Kennedy (seorang barrister dari United Kingdom) dan Duarte Nuno Vieira (seorang pakar patologi dan profesor perubatan forensik di Coimbra Universiti, Portugal). Mereka mula menjalankan siasatan di Turki dan kemudian akan meneruskan kerja mereka di Arab Saudi. Hasil siasatan mereka akan diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Jun depan.
Keberkesanan siasatan PBB ini pastinya memerlukan kerjasama semua negara terlibat, termasuklah Turki, Arab Saudi dan negara-negara anggota PBB yang lain. Pasukan penyiasat Callamard memerlukan akses kepada semua keterangan yang dikumpul oleh Turki selama ini, termasuklah bahan rakaman audio dan video, untuk dianalisa dan dinilai kesahihannya. Pasukan penyiasat juga perlu diberi akses sepenuhnya untuk menemui dan menyoal semua saksi yang ada maklumat mengenai kes pembunuhan itu.
Kita difahamkan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi sedang menjalankan prosiding jenayah ke atas 21 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah pembunuhan Khashoggi. Mengikut jurucakap kerajaan Arab Saudi, apa yang berlaku di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada Oktober lalu adalah satu rogue operation (tindakan salah) yang dilakukan atas arahan ‘pegawai-pegawai tinggi’ yang rapat dengan seorang individu tertentu yang disifatkan sebagai pemerintah de facto kerajaan.
Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menyambut baik siasatan PBB ini dan mengharapkan ia akan berjaya mendedahkan siapa petualang sebenar di sebalik pembunuhan kejam itu.
Kesimpulannya, fakta dan hal keadaan pembunuhan Khashoggi di premis Konsulat Arab Saudi di Istanbul adalah berbeza dengan fakta dan hal keadaan pembunuhan Kim Jong-nam (warga Korea Utara) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Februari 2017. Bangunan KLIA terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia, kerana ia bukan satu premis atau kawasan yang dilindungi oleh Artikel 22 Konvensyen 1961 itu, manakala dua orang yang disyaki melakukan jenayah tersebut telah pun ditangkap dan kini dibicarakan.
PBB merasakan sekiranya satu siasatan yang lengkap dan tidak berat sebelah (impartial investigation) tidak dilakukan ke atas kes ini, keadilan tidak dapat dicapai sepenuhnya.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










