KUALA LUMPUR 13 Feb. – Bekas wakil rakyat UMNO yang diterima masuk ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam disifatkan sebagai ‘sampah’.
Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, tindakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima ‘katak-katak’ UMNO berkenaan sungguh mengecewakan kerana beliau sebelum ini pernah berjanji untuk tidak menerima golongan seperti ini.
Soalnya, adakah rakyat kini bakal menyaksikan pengambilalihan Bersatu oleh bekas-bekas ahli

UMNO?
“Saya tahu (tidak akan terima ahli UMNO) kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri. Dan saya percaya kepadanya.
“Apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir begitu mengecewakan, menerima sampah seperti ini. Jadi apa berlaku jika lebih banyak katak daripada UMNO meninggalkan kapal dan meminta untuk menyertai Bersatu,” katanya melalui hantaran dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam, enam bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Dr. Mahathir.
Mereka adalah Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Ahli Parlimen DAP dari Klang, Charles Santiago melihat penyertaan Shabudin ke dalam Bersatu sebagai ‘membimbangkan’.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menerima masuk individu kontroversi seperti beliau.
“Reaksi dalam sosial media tentang Shabudin amat jelas. Kita (PH) mengalami masalah kurang kepercayaan daripada rakyat. Jika berlarutan, masyarakat akan menggelar kita sebagai Barisan Nasional (BN) 2.0,” katanya.










