Kena undi nak masuk KL Maraton 2019 - Utusan Malaysia

Kena undi nak masuk KL Maraton 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Populariti Standard Chartered Kuala Lumpur (KL) Maraton dalam kalangan peserta tempatan dan luar negara membuatkan penganjurnya terpaksa membuat pengundian untuk menentukan siapa yang layak bertanding pada edisi ke-11 dari 28 dan 29 September ini.

Sistem pengundian yang kali pertama dibuat dalam sejarah penganjuran maraton pa­ling berprestij di Malaysia itu bagaimanapun hanya melibatkan orang awam kerana kuota untuk peserta tahun lalu sama ada pelari amatur atau profesional telah penuh.

Ini sekali gus membayangkan sambutan yang diterima KL Maraton tahun ini lebih hebat berbanding tahun lalu apabila dijangka lebih 38,000 peserta mengambil bahagian termasuk dari 70 negara luar.

Pengarah Jawatankuasa Pe­nganjur KL Maraton, Rainer Biemans berkata, sistem pengundian ini dibuat bertujuan berlaku adil kepada peserta.

Mereka yang bernasib baik akan terpilih tanpa perlu ­berebut antara satu sama lain atau menimbulkan sebarang isu dan prasangka buruk.

Buat masa ini, hanya tinggal 12,000 slot untuk diisi orang awam manakala selebihnya iaitu kira dua pertiga daripada keseluruhan peserta telah diisi dan diberi keutamaan kepada peserta tahun lalu atas konsep kesetiaan.

“Kami memperkenalkan ku­o­ta peserta setia atau tetap pada 2016 sebagai menghargai sokongan kuat mereka.

“Bagaimanapun agak mengejutkan kami tahun ini apabila jumlah itu meningkat kepada 60 peratus kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pelancaran majlis pe­ngundian secara berkomputer untuk orang awam yang di­sempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN