Kementerian Pendidikan nafi jadikan sekolah Cina ‘anak emas’ - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan nafi jadikan sekolah Cina ‘anak emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Kementerian Pendidikan tampil memberi penjelasan selepas dikritik hebat rakyat berikutan seolah-olah menjadikan sekolah Cina sebagai ‘anak emas’ dengan pemberian beberapa peruntukan penyelenggaraan.

Menurut Kementerian Pendidikan, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang pihaknya hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah Cina dan mengabaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

“Dalam kes yang dipertikaikan beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching adalah peruntukan diluluskan untuk 2018 dan bukan peruntukan tahun ini.

“Mengenai peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina 2019 berjumlah RM12 juta, ia bukan merupakan peruntukan Kementerian Pendidikan sebaliknya adalah dana khas yang  disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan berkata, Menterinya, Dr. Maszlee Malik sendiri telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki sekolah kebangsaan (SK) dan Agama Negeri.

Jelasnya, permohonan tersebut bagaimanapun masih dalam pertimbangan kementerian terbabit sekali gus menolak tanggapan yang Kementerian Pendidikan tidak mengambil berat kebajikan murid dan sekolah khususnya aliran SK.

“Selain peruntukan besar untuk menyelenggara dan membaiki sekolah bagi tahun ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM128 juta untuk membangun dan menaik taraf sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menggunakan peruntukan pembangunan kementerian tahun 2019,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN