Kemelut PFA : Ahmad Amizal enggan komen, dakwa terima pelbagai ugutan - Utusan Malaysia

Kemelut PFA : Ahmad Amizal enggan komen, dakwa terima pelbagai ugutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 24 Feb. – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie enggan mengulas desakan barisan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk bola sepak negeri itu yang mahu beliau bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

 

Sebaliknya kata Ahmad Amizal, pada masa ini, beliau ingin memikirkan mengenai keselamatan diri dan keluarga selepas mendakwa menerima pelbagai ugutan sejak akhir-akhir ini.

Dalam masa sama, beliau juga sekali lagi memohon maaf kepada penyokong selepas gagal menunaikan harapan mereka untuk melihat Perlis  kembali bangkit dalam saingan Liga Malaysia.

“Saya enggan komen desakan supaya bertanggungjawab dan tidak mahu lagi mengeruhkan lagi keadaan. Pada masa ini, keselamatan diri dan keluarga adalah lebih penting. Sejak kemelut ini berlaku sehingga semalam, saya terus menerima ugutan malah ia turut melibatkan isteri, ibu bapa dan anak-anak saya.

“Saya merayu, dan minta maaf dengan apa yang berlaku. Selama empat bulan ini, saya sudah buat yang terbaik tetapi gagal. Saya minta maaf,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, PFA menegaskan sama sekali tidak akan melepaskan Ahmad Amizal yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala masalah yang melanda Singa Utara.

Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan dilaporkan berkata, tindakan Ahmad Amizal yang melepaskan jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta tanpa pengetahuan barisan Exco langsung tidak boleh diterima.

Tegas Abdul Karim, Ahmad Amizal perlu bertanggungjawab menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain selaras dengan perjanjian ketika beliau mengambil alih PFA pada Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Amizal berkata, beliau telah mengeluarkan duit sendiri sepanjang menguruskan pasukan termasuk perbelanjaan ketika perlawanan persahabatan di dalam negara dan Thailand sebelum ini.

Beliau juga berharap akan ada pemimpin baharu yang boleh membantu dan menguruskan Perlis dengan lebih baik selepas ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amizal tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis sekiranya ugutan demi ugutan yang diterima itu masih berterusan kerana bimbang ia boleh mengancam nyawanya dan keluarga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN