Kelindan maut dihentam tayar lori di Slim River - Utusan Malaysia

Kelindan maut dihentam tayar lori di Slim River

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SLIM RIVER – Seorang kelindan lori maut apabila dia dihentam sebiji tayar dipercayai daripada sebuah lori ketika mahu memeriksa lorinya di lorong kecemasan di Kilometer 372.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, dari Teluk Intan itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati lori muatan barangan dapur dipandu Zaidi Abdullah, 30, bersama mangsa dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Kuala Lumpur. 

“Tiba di tempat kejadian, Zaidi memberhentikan lorinya di lorong kecemasan selepas terdengar satu bunyi di bahagian belakang kenderaannya. 

“Mangsa kemudian turun untuk memeriksa tayar lori tersebut. Pada masa sama sebiji tayar tercabut dipercayai daripada sebuah lori dan bergolek melalui penghadang besi jalan serta lori itu sebelum ia menghentam mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Wan Kamarul Azran, akibat hentaman tayar itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat. 

“Polis telah memperolehi rakaman video daripada lori dinaiki mangsa bagi membantu siasatan selain memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sekiranya ada,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Katanya, saksi yang melihat kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN