Kejayaan termanis cef pastri Malaysia - Utusan Malaysia

Kejayaan termanis cef pastri Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekumpulan cef Malaysia membuktikan biarpun negara ini tidak sinonim dengan pastri namun mampu bergelar juara dunia bagi sajian itu menewaskan 20 pasukan negara lain selain menggondol anugerah rasa terbaik. Hebat!

Gegak gempita sorakan di dewan Eurexpo, Lyon, Perancis yang bersatu dengan ekspresi wajah penuh emosi empat jejaka Malaysia itu saat nama negara diumumkan sebagai juara Coupe du Monde de la Mundo Patisserie hujung Januari lalu menerbitkan rasa remang yang sukar diungkapkan.

Cef Tan Wei Loon, 33; Loi Ming Ai, 30; Otto Tay, 31, serta jurulatih mereka, Patrick Siau berusia 40-an yang berada di atas podium tertinggi pertandingan Piala Dunia Pastri itu saling berpelukan syabas dengan sebak yang membungkam. Sesekali mereka menjulang trofi yang tidak pernah ada dalam genggaman peserta sebuah negara yang bukan sinonim dengan pastri itu.

Namun tidak di dalam sanubari empat lelaki itu. Sinonimnya hati mereka dengan dunia pastri begitu mendalam seiring rasa cintakan negara apabila bibir mereka mengalun bangga bait-bait lagu Negaraku yang berkumandang buat pertama kali dalam pertandingan paling berprestij pastri itu.

Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara dari Asia selain Jepun yang pernah menjadi juara pertandingan yang tarafnya seperti F1 dalam sukan permotoran itu yang secara logiknya didominasi negara-negara Eropah atau Barat memandangkan pastri seperti roti, kek dan pencuci mulut adalah makanan ruji mereka.

Rasa

Dalam tempoh 10 jam, setiap pasukan dikehendaki menyediakan tiga pencuci mulut coklat bersama madu, tiga kek aiskrim buah-buahan dan 19 pinggan pencuci mulut vegetarian. Mereka juga dikehendaki membuat tiga rekaan arca artistik daripada gula, coklat dan ais selain arca ukiran bongkah coklat.

Kala tokoh berambut putih yang merupakan pengasas pertandingan itu, Gabriel Paillasson mengumumkan nama Malaysia sebagai juara, berita kemenangan itu tersebar ke seantero dunia khususnya segenap Perancis yang amat memandang tinggi pertandingan itu.

“Pertandingan ini dipandang begitu besar bagi rakyat Perancis sehinggakan apabila saya menaiki teksi selepas kemenangan itu, pemandu teksi segera mengucapkan tahniah sebaik dimaklumkan saya dari Malaysia.

“Sejujurnya, apabila diumumkan memenangi pertandingan itu, kepala saya jadi kosong sejenak. Mungkin kerana tidak menjangka boleh memenanginya walaupun kami memang menyasarkan untuk berada di tempat tiga teratas,” kata Wei Loon kepada K2 saat ditemui di Akademi Seni Pastri dan Kulinari Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.

Dia dan seorang lagi rakannya, Ming Ai yang merupakan dua tenaga pengajar akademi tersebut diraikan bagai wira oleh seluruh penghuni akademi baru-baru ini.

Dalam keraian itu cuma ada mereka berdua. Seorang lagi, Otto yang juga merupakan bekas tenaga pengajar akademi itu kini bekerja di sebuah premis coklat di Vietnam manakala jurulatih yang membimbing kemenangan mereka, Patrick merupakan Ketua Cef Sekolah Hospitaliti, University Sunway, Petaling Jaya.

Malaysia berjaya menewaskan 20 buah negara dalam pertandingan berpasukan itu dengan Jepun di tempat kedua dan Itali di tempat ketiga. Negara-negara lain yang bertanding ialah Amerika Syarikat, Australia, Britain dan banyak lagi.

Tidak cukup itu pasukan Malaysia turut meraih anugerah Vase de Sevres iaitu rasa sajian terbaik.

Penganjur turut menyifatkan sajian pasukan Malaysia itu telah menawan hati para juri dengan persembahan paling kreatif dan mengejutkan.

Malaysia meraih juara dengan 11,904 mata diikuti Jepun (11,862) dan Itali (11,083).

Kemenangan itu juga cukup emosional bagi Wei Loon memandangkan ini kemaraan kali ketiganya ke peringkat akhir Piala Dunia Pastri. Kali pertama pada 2013 pasukan Malaysia hanya mampu meraih tempat ke-14 dan kali kedua penyertaannya pada 2015 meraih tempat keempat.

“Kejayaan ini bukan mudah, Otto juga menyertainya bersama saya pada 2013. Kegagalan lalu sedikit sebanyak menghantui saya apabila kegagalan pada tahun itu adalah disebabkan salah satu sajian saya tumbang sewaktu hendak dibawa ke meja juri,” katanya sambil memberitahu mereka juga bergelar juara Piala Pastri Asia yang berlangsung di Singapura pada April tahun lalu.

Dilahirkan di Muar, Johor, Wei Loon berbangga dengan asal usulnya yang sederhana. Katanya, Otto juga berasal dari Muar.

Wei Loon bukanlah seorang yang meminati memasak atau pastri sejak kecil. Semuanya bermula semasa mengikuti praktikal di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan sewaktu menuntut jurusan pengurusan hotel dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“Apabila memasuki dapur pastri, saya merasakan inilah yang ingin saya lakukan. Saya meminati pastri kerana saya minat melukis.

“Walaupun kita dari negara Asia, bukan sehebat negara pastri yang lain, tetapi kalau kita mahu berjaya, teruslah berusaha walau jatuh berapa kali pun,” katanya yang pernah menjadi cef pastri di Hotel Palace of the Golden Horses dan Renaissance, Kuala Lumpur sebelum menjadi tenaga pengajar akademi.

Muzik

Sementara itu, berlainan dengan Ming Ai, ini merupakan penyertaan kali pertamanya. Menurutnya, ketiga-tiga mereka merupakan pemenang tiga terbaik di peringkat kebangsaan menerusi pertandingan Food and Hotel Malaysia (FHM) di Kuala Lumpur pada September 2017 dan secara kebetulan kebanyakan kami datang dari akademi yang sama.

“Kami hanya mempunyai persediaan untuk ke Piala Dunia Pastri kira-kira setengah tahun untuk berlatih bersama. Kami juga perlu mencari masa untuk berkumpul bertiga memandangkan Otto telah setahun setengah bekerja di Dobla, Vietnam.

“Saya langsung tidak menjangka terus memenanginya pada penyertaan pertama,” ujarnya.

Berhubung ilham untuk membuat sajian berbentuk monyet yang merupakan cetusan ideanya, Ming Ai berkata, dia merasakan monyet merupakan salah satu haiwan yang terdapat di Malaysia dan jarang diketengahkan dalam rekaan-rekaan sajian sebelum ini.

“Pada tahun ini buat pertama kalinya diadakan tema dan temanya ialah Alam Semula Jadi, Flora dan Fauna, jadi saya terfikirkan sesuatu dari hutan. Kemudian, atas gabungan idea-idea rakan sekumpulan kami menerapkannya dengan unsur muzik yang dipercayai dapat menyerlahkan lagi idea itu maka timbullah idea untuk menjadikan monyet Elvis Presley.

“Cabaran paling besar bagi saya adalah untuk berlatih mengukir ais dalam cuaca di Malaysia. Sekalipun saya berlatih di dalam bilik sejuk beku, ia masih tetap cepat cair,” katanya yang berkepakaran bidang ais.

Pastri telah mengubah hidup Ming Ai, anak kelahiran Sibu, Sarawak itu yang asalnya tidak mempunyai apa-apa haluan hidup. Selepas tamat persekolahan menengah, dirinya cuma melepak selama dua tahun sebelum ditawarkan seorang rakan untuk bekerja di sebuah kedai roti di Kuching.

“Semasa bekerja di kedai bakeri itu, saya merasakan ilmu saya mengenai pastri masih kurang lalu saya berhasrat untuk menuntut di akademi di Petaling Jaya ini sebelum menjadi tenaga pengajar di situ,” katanya yang pernah berpengalaman menjadi cef di China sebelum menjadi tenaga pengajar di akademi tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar akademi itu, Nur Atirah Ahmad Mas Dali, 25, berkata, kejayaan guru-guru membakar semangatnya dan 
pelajar-pelajar yang lain untuk berjaya seperti mereka.

“Guru kami juara dunia! Kejayaaan ini menyuntik semangat kami untuk berjaya seperti mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN