KUALA LUMPUR 21 Feb. – Kegiatan menyambung bekalan air terawat secara haram di sebuah tapak projek pembinaan pangsapuri di Mont Kiara, di sini terbongkar selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat serbuan di kawasan berkenaan.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, serbuan itu dijalankan susulan aduan diterima berhubung kes kecurian air pada pertengahan Januari lalu.
“Pemeriksaan di tapak pembinaan dua blok bangunan pangsapuri itu menemui satu sambungan air yang tidak sah dengan menggunakan poli paip jenis high density polyethylene (HDPE) berukuran 32 millimeter (mm) dari paip utama Air Selangor untuk kegunaan aktiviti harian dan pembinaan.
“Ujian klorin di tapak juga mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat menyebabkan kami terpaksa bertindak memotong sambungan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melaksanakan operasi di kawasan tersebut hari ini..
Abdul Raof berkata, bermula Januari sehingga kini, sebanyak 58 serbuan telah dilakukan yang melibatkan 29 tapak pembangunan komersial manakala sembilan di kawasan domestik. – UTUSAN ONLINE










