ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah menyarankan Kementerian Pengangkutan supaya menamatkan terus operasi semua feri penumpang milik Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. sekiranya kejadian feri terbakar di perairan Langkawi kelmarin berpunca daripada kecuaian syarikat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, terdapat banyak aduan yang diterima berhubung perkhidmatan feri di bawah syarikat berkenaan dan perkara itu perlu diperhalusi oleh kementerian dengan segera.
“Operasi syarikat berpangkalan di Sarawak ini pernah digantung selama sebulan pada Oktober tahun lalu selepas insiden sebuah feri lain milik syarikat itu dari Langkawi ke Kuala Kedah rosak sehingga menyebabkan penumpang terkandas di laut selama tujuh jam.
“Semalam merupakan insiden kali kedua membabitkan syarikat sama dan Jabatan Laut Malaysia telah mengarahkan perkhidmatan kesemua lima feri syarikat itu dihentikan sehingga siasatan kejadian feri terbakar selesai,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia serta Badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah serta Pegawai Laut Jabatan Laut Malaysia Langkawi, Ghadzali Ahmad.
Kata beliau, beberapa aduan penumpang sebelum ini iaitu berkaitan bau minyak dan asap yang kuat ketika menaiki feri Dragon Star juga perlu diteliti dengan baik.
Azman pada masa sama juga mahu prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan keseluruhan pengangkutan air itu diperketatkan serta mengkaji semula had usia maksimum feri yang dibenarkan belayar.
“Saya dimaklumkan feri yang terbakar itu sudah berusia 28 tahun, namun dibenarkan beroperasi kerana didapati masih layak untuk berlayar,” katanya.
Sementara itu, Ghadzali berkata, feri tersebut melepasi pemeriksaan dokumentasi pada kelmarin didapati layak untuk berlayar.
“Kita juga tidak menerima sebarang maklumat menyatakan pengangkutan air itu berada dalam keadaan tidak memuaskan dan kejadian berlaku pada perjalanan pertama feri tersebut semalam,” katanya.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan seramai 52 penumpang dan enam kru feri bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis berdepan detik cemas apabila pengangkutan air itu terbakar di perairan Langkawi berhampiran Selat Kuah di pulau peranginan tersebut kira-kira pukul 2.45 petang semalam. – K! ONLINE










