Kedah enggan lena dibuai mimpi indah - Utusan Malaysia

Kedah enggan lena dibuai mimpi indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak tidak mahu pemainnya terlalu berpuas hati dengan kejayaan menundukkan Felda United 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Sebaliknya, Aidil yang dilantik membimbing skuad Helang Merah musim ini mahu pasukannya terus mengekalkan fokus dan berusaha meneruskan momentum kemenangan pada aksi seterusnya.

Kemenangan besar ke atas Felda United kelmarin meletakkan skuad Helang Merah di kedudukan pendahulu Liga Super 2019 menerusi kelebihan perbezaan jari­ngan selepas mereka berkongsi tujuh mata dengan pasukan tangga kedua Pahang dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aidil berkata, kerja keras anak-anak buahnya pada aksi tersebut wajar diberi pujian kerana ia adalah kejayaan pertama mereka di gelanggang sendiri dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

“Tahap mentaliti pasukan sangat pen­ting dalam menghadapi persaingan musim ini memandangkan persaingan sengit semua pasukan dalam Liga Super serta kehadiran pemain-pemain import yang semakin berkualiti.

“Jadi, kami perlu terus fokus dan mengekalkan mentaliti ini bagi menghadapi cabaran seterusnya meskipun kami sekarang berada di atas (kedudukan Liga Super),” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.

Jurulatih kelahiran Singapura itu turut menegaskan, pasukannya kini perlu bersedia untuk berhadapan tentangan daripada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor Jumaat ini.

“PJ City FC merupakan sebuah pasukan yang sangat berdisiplin dan kami kita tidak boleh menganggap ia adalah satu perlawanan yang mudah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN