Kebangkitan UMNO-Pas cemaskan PH – Mazlan - Utusan Malaysia

Kebangkitan UMNO-Pas cemaskan PH – Mazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kebangkitan pembangkang (UMNO-Pas) yang semakin mendapat sokongan orang Melayu membuatkan Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak untuk ‘menutup’ konflik dalaman gabungan itu yang mula dihidu rakyat.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Maz­lan Ali berkata, kedudukan PH diburukkan lagi dengan pergeseran kecil komponen-komponennya yang saling mengkritik ekoran tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kemasukan Ahli-Ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Terdapat ura-ura kononnya ada­nya pergeseran antara Dr. Mahathir dan Presi­den PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mencetuskan tuduhan ada percubaan menggulingkan Dr. Mahathir

MAZLAN ALI
MAZLAN ALI 

melalui undi tidak percaya.

“Menyedari bahaya ini (pecahnya kerajaan PH), PKR bertindak menyelamatkan keadaan dengan menegaskan sokongannya terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.

“Ia turut disertakan dengan mempertahankan perjanjian yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun dan Anwar akan mengambil alih jawatan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, PKR menegaskan pendirian parti itu tidak berubah terhadap persetujuan mengangkat Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri apabila menang PRU-14 dan Anwar akan mengambil alih jawatan itu selepas tempoh dua tahun.

Tambah Mazlan, isu jawatan Perdana Menteri akan terus menjadi cabaran terhadap PH untuk mengekalkan kestabilan dan permuafakatan gabungan tersebut yang berdepan cabaran besar UMNO-Pas.

“Lebih-lebih lagi baru-baru ini gabungan UMNO-Pas berjaya menjuarai orang Melayu dan berjaya mengasak PH dengan isu-isu berkaitan orang Melayu serta Islam.

“Saya percaya terdapat pihak-pihak tertentu dalam PH yang berpendapat bahawa Dr. Mahathir perlu kekal untuk tempoh yang lebih lama, manakala terdapat sebahagian lain berpegang kepada perjanjian yang telah dipersetujui,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN