ALOR SETAR 26 Feb. – Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar menghentikan operasi syarikat perkhidmatan feri yang terlibat dalam kebakaran di Langkawi dekat sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, ini kerana isu melibatkan syarikat Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. itu bukan pertama kali selepas salah sebuah feri miliknya tersangkut di tengah laut akibat rosak, pada Oktober tahun lalu.
Walau bagaimanapun menurut beliau, langkah itu hanya dicadangkan sekiranya laporan forensik oleh agensi berkaitan kelak mendapati terdapat pelanggaran syarat oleh syarikat itu atau tidak memenuhi mana-mana kriteria untuk berlayar.
“Syarikat ini pernah digantung operasi selama sebulan tahun lalu, namun dibenarkan kembali beroperasi setelah memenuhi syarat ditetapkan dan kali ini Jabatan Laut menggantung sekali lagi operasinya yang membabitkan lima buah feri bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.
“Laporan-laporan daripada penumpang yang mendakwa terhidu bau asap, bau minyak dan sebagainya juga telah dimasukkan ke dalam siasatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri dan Pegawai Jabatan Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, feri yang membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju ke Kuala Perlis itu terbakar pada jarak tiga kilometer dari pantai selepas bertolak kira-kira lima minit.
Tambah Azman, kejadian tersebut tidak akan menjejaskan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini memandangkan insiden tersebut di luar jangkaan.
Sementara itu, Ghadzali berkata, feri Dragon Star 1 yang sudah berusia 28 tahun berada dalam keadaan baik sebelum dibenarkan berlepas pada pukul 2.30 petang.
“Kita tidak menerima apa-apa makluman yang menyatakan bahawa feri itu berada dalam keadaan kurang memuaskan kerana berdasarkan dokumentasi yang dikemukakan kita menyokong pelepasan feri ini untuk berlayar.
“Malah, Dragon Star 1 ada menjalani pemeriksaan pada Januari lalu dan dilaporkan dalam keadaan baik, namun apa-apa pun kita akan menunggu laporan akhir oleh pasukan forensik dan agensi berkaitan tentang punca kebakaran semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Firdaus memberitahu, beliau sendiri sering berdepan masalah ketika menaiki feri tersebut untuk berulang-alik dari Langkawi ke Alor Setar termasuk beberapa kali menghidu bau yang kurang menyenangkan dan meminta agensi berkaitan melakukan siasatan terperinci demi keselamatan dan keselesaan penumpang terutamanya warga Langkawi. – UTUSAN ONLINE










