Kebakaran feri: Penumpang dengar bunyi letupan sebelum terbakar - Utusan Malaysia

Kebakaran feri: Penumpang dengar bunyi letupan sebelum terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Penumpang feri Dragon Star bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis mendengar bunyi letupan sebanyak dua kali sebelum pengangkutan tersebut terbakar di perairan Langkawi berhampiran Selat Kuah di pulau peranginan itu petang tadi.

Penumpang feri, Noor Fatiha Arshad, 29, berkata, dia masuk ke ruang penumpang lebih awal iaitu kira-kira 15 minit sebelum feri dijadualkan berlepas dari Jeti Kuah pada pukul 2.30 petang.

“Saya duduk di bahagian tengah tempat duduk penumpang dan berasa tidak sedap hati apabila mendengar bunyi enjin yang kuat dan kasar berbanding semasa saya menaiki feri sama ke Langkawi Khamis lalu.

“Dalam masa kira-kira lima minit bergerak dari Jeti Kuah, ada bunyi letupan sebanyak dua kali sebelum asap hitam memenuhi ruang penumpang dalam masa yang singkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

feri terbakar
Sebahagian daripada penumpang yang terselamat dalam kejadian feri terbakar di perairan Langkawi hari ini.

 

Katanya yang merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, keadaan api yang marak dan asap hitam dari belakang feri mencetuskan panik dalam kalangan penumpang yang kemudian bergegas menyelamatkan diri ke dek terbuka di bahagian hadapan feri.

“Kru feri mengarahkan kami pergi ke bahagian dek feri dan saya lihat sebahagian penumpang termasuk wanita dan kira-kira 10 kanak-kanak dalam keadaan trauma dan menangis,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dalam masa kira-kira dua minit, beberapa bot datang dan semua penumpang selamat dipindahkan ke bot tersebut sebelum dibawa ke Jeti Kuah.

“Kami bernasib baik kerana tempat kejadian masih dekat dengan jeti yang mana keadaan boleh jadi lebih buruk jika feri ini terbakar di tengah lautan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang tadi, kesemua 52 penumpang dan enam kru feri milik Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. tersebut bernasib baik apabila sempat diselamatkan lebih lima bot penumpang Pulau Tuba dan Bagan Selat yang berada berhampiran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN