BALING 9 Feb. – Kebakaran tanah gambut di Gunung Baling, di sini, sejak tiga hari lalu, dalam keadaan terkawal walaupun terdapat beberapa tempat di sekitar gunung itu masih terbakar sehingga pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, pihaknya masih meneruskan operasi pemadaman tersebut dengan menggunakan helikopter dan secara manual.
“Hasil pemantauan dari udara mendapati skala kebakaran kini sudah mengecil dan semakin berkurangan serta dalam keadaan terkawal.
“Kita akan meneruskan pemadaman dengan menggunakan kaedah ‘bambi bucket’ serta ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’ dengan menggunakan aset-aset yang ada,” katanya di sini hari ini.
Operasi yang dinamakan Op Bayu itu kini memasuki hari keempat sejak kawasan gunung itu terbakar di ketinggian 260 meter.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran berikutan faktor cuaca panas, angin kuat dan sumber air yang terhad.
Dalam pada itu, Mohd. Jamil berkata, pihaknya juga meneruskan pemantauan di lokasi-lokasi kebakaran yang berdekatan kawasan perumahan bagi mengelak risiko api daripada merebak.
Selain bomba, operasi memadam kebakaran itu turut melibatkan seramai 48 orang anggota dan pegawai pasukan-pasukan penyelamat seperti Sahabat Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan malim gunung. – UTUSAN ONLINE










