JOHOR BAHRU 25 Feb. – Seorang kanak-kanak berusia setahun tiga bulan melecur di bahagian muka, leher dan badan hampir 13 peratus selepas terkena air panas yang disediakan ibunya untuk membancuh Teh di rumah mereka di Kempas di sini semalam.
Menurut ibu kanak-kanak itu, Nor Hayati Yazid, 23, semasa kejadian pada pukul 2 petang itu, dia berada di dapur menyediakan air untuk suaminya manakala anaknya Nur Afeeya Humaira turut berada bersamanya.
Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku semasa dia hendak mengambil gula selepas menuang air panas ke gelas, tiba-tiba terdengar tangisan Nur Afeeya dengan air panas tertumpas ke badannya.
“Saya tidak pasti sama ada dia memanjat dan mencapai gelas berisi air panas itu atau terlanggar meja sehingga gelas terjatuh kerana selalunya dia tidak boleh mencapai meja dapur yang lebih tinggi daripadanya,” katanya di sini hari ini.
Nor Hayati berkata, sejurus melihat kejadian itu yang menyebabkan kulit anaknya mengelupas, dia membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Selepas menerima rawatan, katanya, keadaan Nur Afeeya stabil bagaimanapun kanak-kanak itu sering menangis.
Tambahnya, pada masa ini, anaknya itu masih ditempatkan di wad kanak-kanak HSA bagi tujuan pemantauan dan belum dibenarkan pulang. – UTUSAN ONLINE










